[VIDEO] Rasa 'berdosa' kalau tak tolong orang dorong ibu 2 anak tawar servis HR satu Malaysia


  • Bizz
  • Isnin, 13 Jan 2025

Mastura (lima dari kanan) memiliki hampir dua dekad pengalaman dalam bidang sumber manusia.

"BERDOSA kalau tak mahu tolong orang kak".

Penyataan itu berlegar-legar dalam fikiran Mastura Khairi, 40, sebelum akhirnya dia memutuskan untuk menubuhkan sebuah perniagaan yang menyediakan kepakaran dalam bidang sumber manusia (HR).

Memiliki hampir dua dekad pengalaman dalam cabang kerjaya tersebut, wanita ini terpanggil untuk memulakan langkah sebagai usahawan selepas adiknya menyarankannya menggunakan kepakaran yang ada untuk membantu syarikat lain.

BACA LAGI: [VIDEO] Rama-rama jadi identiti, anak seni kelahiran Perak realisasi impian masa kecil buka bisnes di Bukit Bintang

BACA LAGI: Sampai menteri pun terpikat, status lelaki bukan alasan anak jati Kota Bharu buka bisnes tudung

“Saya pernah bekerja di beberapa syarikat dan memegang pelbagai peranan dalam bidang HR, termasuk penggajian, pengambilan dan pampasan atau imbuhan," bicaranya membuka perbualan bersama Majoriti.

Berhenti kerja pada 2019 bukan satu keputusan mudah buat Mastura yang sebelum ini berkhidmat di beberapa syarikat korporat sejak 2009.

Tindakan itu bagaimanapun dibuat atas faktor kehamilan dan keperluan syarikat untuk terus beroperasi tanpa kehadirannya.

"Kalau nak upah pekerja baharu, kebiasaannya yang lama kena keluar dahulu. Jadi, saya fikir lebih baik berhenti kerja.

"Namun, saya sebenarnya agak bimbang dari segi kewangan disebabkan status ketika itu yang sedang hamil," ujarnya.

WhatsApp Image 2025-01-11 at 13.53.19

Mastura menyediakan perkhidmatan membantu syarikat untuk memiliki akses kepada kepakaran sumber manusia, dari luar.

PKP lonjak bisnes

Kongsi wanita berasal dari Shah Alam, Selangor itu lagi, adiknya menjadi pencetus semangat untuk mengorak langkah dalam bidang keusahawan dengan menyatakan bahawa ilmu sumber manusia yang dimilikinya tidak boleh disia-siakan.

"Dia kata, ramai pemilik syarikat tidak tahu tentang kepentingan HR. Jadi kenapa tidak saya yang ada kemahiran cuba bantu mereka?" ujarnya mengenang kembali perbualan mereka.

Berpegang pada kata-kata itu, di samping dorongan suami tercinta akhirnya membawa kepada penubuhan MTR Solutions (M) Sdn Bhd pada 2019.

Bermodalkan sebuah komputer riba dan kepakaran dimiliki, anak kelima daripada tujuh beradik itu mula menyediakan perkhidmatan membantu syarikat untuk memiliki akses kepada kepakaran sumber manusia, dari luar.

“Kami bermula dengan servis asas seperti menguruskan penggajian, penyediaan dokumen dan konsultasi dengan hanya bergantung kepada pemasaran secara mulut ke mulut.

"Klien pertama diperkenalkan oleh adik dan saya hanya mengenakan caj RM1,000 bagi mengendalikan sistem penggajian dan urusan lain untuk 10 pekerja di syarikat berkenaan," jelasnya.

WhatsApp Image 2025-01-10 at 17.08.46

Mastura ketika menghadiri masterclass sempena Hari Peneroka Felda 2024.

Lebih menarik, di saat kebanyakan syarikat terjejas akibat sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, lain pula ceritanya buat Pengarah Urusan MTR Solutions itu.

PKP katanya, mengubah cara perniagaan beroperasi di seluruh negara. Ketika itu, keperluan untuk perkhidmatan pengurusan sumber manusia melonjak secara mendadak.

"Ramai majikan memerlukan bantuan untuk pelbagai perkara, termasuk proses pemberhentian pekerja, tuntutan faedah dan pendaftaran agensi seperti PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial).

“Ramai yang tidak pernah mendaftar dengan PERKESO tiba-tiba terpaksa melakukannya kerana bantuan kerajaan memerlukan pendaftaran rasmi.

"Masa itulah ramai mula mencari perkhidmatan kami, terutamanya untuk membuat dokumen penting seperti surat penamatan kerja dan surat kebenaran rentas negeri,” tambahnya yang menjalankan servis dari rumah ketika itu.

Kereta kena tarik

Setiap kejayaan pasti ada kisah perjuangan di sebaliknya dan itulah yang dialami ibu kepada dua cahaya mata ini.

Kekurangan ilmu pemasaran menyebabkan dia pernah tersilap langkah sehingga mendatangkan beban kewangan kepada diri sendiri.

Mastura bercerita, dia pernah mengupah seramai lapan staf bahagian pemasaran dengan harapan mereka dapat membantu perniagaan, namun hasilnya tidak seperti yang diharapkan.

"Malah, situasi menjadi lebih sukar apabila saya gagal membayar komitmen peribadi semata-mata untuk membayar gaji mereka.

"Ketika itu saya baru lepas bersalin dan kami betul-betul kekurangan sumber kewangan. Saya sedang jumpa klien di restoran untuk meyakinkan mereka tentang perkhidmatan saya.

"Kereta kami diparkir di luar dan saya nampak dengan mata sendiri lori tunda datang tarik kereta.

"Sudahlah dalam kereta itu ada susu (tepung) anak saya, kunci rumah semuanya,” tuturnya sambil mengenang detik itu.

Tambahnya, walaupun situasi sedang genting ketika itu, dia tetap meneruskan perbincangan dengan klien sambil dalam hatinya tidak henti-henti berdoa agar dipermudahkan segala urusan.

“Saya yakin ALLAH SWT nak uji untuk beri sesuatu yang lebih baik. Saya hanya mampu menahan perasaan dan terus meyakinkan prospek.

"Alhamdulillah, mereka akhirnya menjadi salah seorang klien tetap sehingga kini, namun peristiwa itu akan tetap terpahat dalam ingatan sampai bila-bila,” akui pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

WhatsApp Image 2025-01-10 at 17.08.46 (1)

Mastura menerima pengiktirafan ketika dilantik sebagai speaker sempena Hari Peneroka Felda 2024.

Selepas peristiwa itu, Mastura dan suaminya membuat keputusan besar untuk menghentikan operasi pemasaran melibatkan staf luar dan menguruskan sendiri strategi pemasaran syarikat.

Mereka juga bergantung kepada sokongan rangkaian perniagaan melalui Business Network International (BNI), yang memberikan platform untuk memperkenalkan perkhidmatan mereka kepada lebih ramai usahawan.

Selepas empat tahun beroperasi, syarikat berpusat di Space U8, Shah Alam, Selangor itu kini menerima kepercayaan pelanggan dari seluruh negara, termasuk Sarawak.

Syarikat dengan 13 kakitangan ini mempunyai empat bahagian utama iaitu pengurusan sumber manusia, pengambilan, penggajian dan pembangunan perniagaan.

“Daripada klien pertama, kini kami telah membantu lebih 300 syarikat dan menguruskan lebih 1,000 kakitangan di pelbagai sektor antaranya klinik estetik, Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska), premis makanan dan minuman (F&B), pakaian, peruncitan dan pusat dialisis,” jelasnya yang memperoleh nilai jualan sekitar RM60,000 sebulan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram