[VIDEO] Dulu membesar 'tanpa' elektrik, pengasas Buttonscarves kini miliki lebih 50 butik di Indonesia, Malaysia


  • Bizz
  • Sabtu, 11 Jan 2025

Linda (kanan) bersama Halima (kiri) ketika memperagakan koleksi Buttonscarves pada Minggu Fesyen Moden Istanbul di Turkiye pada tahun lalu. — Instagram/lindaanggrea

DILAHIRKAN di lokasi yang terletak jauh dari bandar menyebabkan wanita itu menjalani kehidupan masa kecil bersama keluarganya dalam keadaan cukup sederhana.

Membesar di sebuah perkampungan terpencil di desa Sanglar, Kabupaten Indragiri Hilir, Riau, Indonesia, penduduk di desa tersebut sering mengalami masalah bekalan elektrik.

Ketika mengharungi kehidupan di kampung, Linda Anggreaningsih menyimpan segunung impian untuk mengubah kehidupannya sekeluarga.

BACA LAGI: Dari kecil jarang masuk dapur, bekas juruukur bahan kini miliki 'central kitchen' sendiri bekalkan kek sekitar Lembah Klang

BACA LAGI: [VIDEO] Bisnes ikan tilapia tak bawa untung, pencinta alam kelahiran Sabah tawar inap desa dengan landskap hijau di Hulu Langat

Lebih dikenali sebagai Linda Anggrea, wanita itu tahu dengan belajar adalah satu cara untuk dirinya mengubah nasib kehidupan.

Sehinggalah beliau akhirnya berjaya melanjutkan pengajian di Fakulti Ekonomi dalam jurusan Pengurusan Kewangan, Universiti Indonesia, Indonesia.

Usai tamat pengajian, Linda kemudian melangkah ke alam pekerjaan dan berkhidmat di beberapa sektor perbankan hingga 2014, sebelum berhenti kerja kerana ingin memulakan perniagaan dua tahun kemudian.

Walaupun tidak memiliki latar belakang dalam bidang fesyen, Linda kini boleh tersenyum bangga melihat kerja kerasnya sejak lapan tahun lalu mula membuahkan hasil. Beliau berjaya membangunkan jenama bisnes berasaskan hijab dikenali sebagai Buttonscarves.

Selepas menuai sukses di negara kelahiran, perlahan-lahan Linda yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Buttonscarves memancing peminat di Malaysia.

Kini, beliau berjaya membuka cawangan butik keenam di pusat beli-belah terkemuka, Suria KLCC.

Kongsi wanita berusia 34 tahun itu, beliau mula mengenakan hijab pada Disember 2015. Fasa awal mengambil keputusan menutup aurat, dirinya mengalami sedikit kesukaran menemukan hijab yang sesuai.

Bagaimanapun, selepas pulang mengerjakan ibadah umrah, telah tercetusnya idea untuk memulakan perniagaan menjual hijab.

Selain untuk memenuhi keinginan diri, ahli perniagaan itu juga melihat potensi pasaran hijab di Indonesia cukup besar, yakni dengan hanya empat bulan, beliau melancarkan produk pertama pada Mac 2016.

Untitled design (66)

Buttonscarves akan mengeluarkan koleksi istimewa setiap bulan. — Instagram/buttonscarves

Butang baju kemeja

Ditanya idea tercetusnya nama Buttonscarves, Linda memberitahu, beliau menginginkan nama yang mudah disebut selain boleh difahami di pasaran antarabangsa.

"Ketika melakukan semakan kosa kata untuk mendapatkan idea, banyak nama telah digunakan oleh jenama lain. Sehingga suatu hari, semasa menyarungkan baju kemeja, saya melihat butang kemeja tersebut.

"Secara tiba-tiba saya mendapat ilham memilih nama button (butang) kerana ia boleh dilihat di mana-mana dan sentiasa digunakan dalam kehidupan seharian.

"Tentang logo pula, saya mahukan sesuatu berbentuk sederhana, namun memiliki signifikan dan bersifat universal.

"Logo Buttonscarves merupakan gabungan daripada huruf B dan S. Apabila dicantumkan, maka logonya menyerupai angka 8. Orang kata, kalau logonya sepadan, maka rezekinya juga bagus," katanya.

Berbicara lanjut perkembangan awal bisnes, Linda memberitahu, Buttonscarves mula membuka butik sulungnya di Jakarta pada 2016.

Beliau turut meluahkan kesyukuran apabila jenama itu kini memiliki 50 buah butik di seluruh provinsi di Indonesia seperti Riau, Surabaya, Bandung dan Kalimantan.

Sementara di Malaysia, Buttonscarves membuka enam butik masing-masing di pusat beli-belah Setia City Mall, Shah Alam dan Avenue K, MyTown, 1Utama, Pavilion KL dan Suria KLCC di Kuala Lumpur pada Jun tahun lalu.

"Sebenarnya hasrat untuk membuka butik di Suria KLCC berputik sejak empat tahun lalu, tetapi sepanjang tempoh itu tiada sesiapa yang ‘membuka pintu’ untuk saya membawa Buttonscarves ke sana (Suria KLCC).

"Akhirnya impian membuka cawangan keenam Buttonscarves jadi kenyataan. Saya gembira dengan peluang ini dan berharap dapat membuka beberapa lagi cawangan lain di lokasi yang telah dikenal pasti. Buat masa sekarang, saya memberi tumpuan di Lembah Klang," ujarnya.

Snapinsta.app_457377386_18458005498053346_5383596325909021876_n_1080

Linda berkata, beliau mula mengenakan hijab pada Disember 2015. — Instagram/lindaanggrea

Peminat BSLady

Berkongsi tentang respons pengguna Buttonscarves di Malaysia, Linda bersyukur apabila pengguna di sini begitu mengalu-alukan kehadiran Buttonscarves.

Dengan kehadiran peminat tegar yang dipanggil BSLady, jenama Buttonscarves pastinya bukan lagi baharu bagi pengguna di negara ini.

Jelasnya, untuk membuktikan Buttonscarves benar-benar serius dalam pasaran Malaysia, beliau menjalinkan kerjasama dengan beberapa jenama tempatan seperti telekung terkemuka, Siti Khadijah; pereka fesyen, Jovian Mandagie dan pelakon, Mira Filzah.

Pada Januari 2024, jenama tersebut telah berkolaborasi dengan pihak pelancongan Singapura yang mempelawa Buttonscarves untuk mereka corak bermotifkan ikon terkenal di Kota Singa itu.

Bercerita mengenai koleksi Buttonscarves, beliau berkata, setiap bulan Buttonscarves akan mengeluarkan koleksi istimewa walaupun bukan rekaan terbaharu.

Antaranya ialah Como Series yang mengambil inspirasi keindahan lokasi-lokasi menarik di seluruh dunia. Buttonscarves juga sebelum ini melancarkan koleksi Crown Series berkolaborasi bersama model dan personaliti terkenal, Halima Aden.

"Sebagai pengasas, sudah tentu saya berasa sangat bangga apabila jenama ini digayakan figura yang sangat dikenali dalam industri fesyen seperti Halima.

"Ketika Minggu Fesyen Moden Istanbul di Turkiye pada tahun lalu, Halima juga memperagakan koleksi saya di pentas peragaan. Secara tidak langsung, ia memberi peluang kepada Buttonscarves untuk menembusi pasaran antarabangsa.

"Selain hijab, kami juga mengeluarkan produk lain seperti kosmetik, minyak wangi, pakaian, kasut dan beg tangan telekung," ungkap beliau lagi.

Snapinsta.app_472994312_578963335058371_5158650515906873312_n_1080

Antara rekaan hijab Buttonscarves yang akan dipasarkan di pasaran AS. — Instagram/buttonscarves

Ketika disoal sama ada kerjasama dengan Halima Aden bermakna Buttonscarves bakal memasuki pasaran di Amerika Syarikat (AS), Linda menjawab, pihaknya buat masa ini masih meneroka pasaran AS terutamanya di New York untuk memperkenalkan Buttonscarves.

Sebagai langkah awal katanya, Buttonscarves membuka butik pop-up, selain memberi kesedaran terhadap pengguna di New York.

"Saya tahu, untuk meluaskan pasaran sehingga ke AS bukan perkara mudah dan situasinya tidak sama seperti memperkenalkan Buttonscarves di Malaysia.

"Apabila sudah benar-benar bersedia, barulah saya akan serius untuk menembusi pasaran di AS. Saya tidak mahu pergi ke sana, kemudian pulang tanpa kejayaan. Kalau sudah masuk ke pasaran di AS, saya mahu jalan terus," tegasnya.

Linda menambah, antara tujuan beliau memperkenalkan Buttonscarves adalah untuk melihat wanita tampil lebih moden dan yakin diri.

Itu menjadi antara dorongan untuk dirinya berusaha menghasilkan rekaan mengikut trend semasa supaya pengguna gembira dan bangga ketika menggayakan Buttonscarves.

"Insya-ALLAH, usaha ini akan diteruskan sampai bila-bila. Saya melihat jenama-jenama dari Asia Tenggara juga mempunyai potensi.

"Dalam masa 10 tahun, saya mengimpikan untuk membuka butik Buttonscarves bukan sahaja di negara-negara Asia Tenggara, tetapi juga seluruh dunia," tutur wanita ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram