PENDUDUK meluahkan kebimbangan susulan kejadian pecah masuk premis yang dipercayai kerap berlaku di kawasan sekitar Puncak Alam, Selangor sejak kebelakangan ini.
Terbaharu, tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di media sosial memaparkan tindakan seorang individu dipercayai memecah masuk sebuah kedai serbaneka, kira-kira pukul 5 pagi pada Ahad.
Video itu menunjukkan lelaki berkenaan memberhentikan kenderaannya di hadapan kedai tersebut sebelum bertindak membuka pintu kedai dan masuk ke dalam premis berkenaan.
Kejadian itu dipercayai menambah kepada senarai kes pecah masuk yang dikatakan semakin kerap berlaku di kawasan tersebut sejak kebelakangan ini.
Rakaman CCTV itu dikongsikan di laman Facebook Bandar Puncak Alam Community oleh pengguna dengan nama akaun Hen Wong pada Ahad.
"Kes pagi ini (di) depan kedai, kena kopek dengan penyamun lagi...aduh.
"Harap geng-geng ini bertaubat. Menyusahkan orang sahaja kerja (menyamun) macam ini," katanya menerusi hantaran tersebut.
Sementara itu, rata-rata penduduk turut meluahkan kemarahan dan kesal selepas video tersebut tersebar, dengan ramai yang menyeru agar langkah tegas diambil bagi menangani peningkatan kes jenayah di Puncak Alam.
Setakat berita ini ditulis, masih tiada kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram