[VIDEO] Licik buat 'job' waktu solat Jumaat, 2 suspek berparang samun warga emas dalam rumah di Bera


  • 112
  • Jumaat, 10 Jan 2025

Dua lelaki bertindak samun di sebuah rumah yang terletak di Kampung Batu Bor, Bera, Pahang pada Jumaat lepas.

WANITA berusia 66 tahun berada dalam keadaan panik selepas diacukan parang pada leher dalam kejadian samun di Kampung Batu Bor, Bera, Pahang pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, warga emas berkenaan berada di dalam bilik air sebelum terdengar bunyi seperti ketukan pada pintu bahagian dapur sekitar pukul 1.30 tengah hari.

Zulkiflee berkata, dua individu tidak dikenali yang memakai penutup muka secara tiba-tiba memasuki rumah serta menyuruh mangsa keluar dari tandas.

BACA LAGI: Kemalangan jadi titik tolak budak JB ubah laluan hidup, kejayaan di UPM bawa nama ke Universiti Oxford

BACA LAGI: Berkat dorongan ibu bapa, anak sindrom Down tonjol potensi luar biasa bercucuk tanam, kraf dan main piano

"Kedua-dua suspek bertindak mengikat kedua tangan pengadu di kerusi dan meletakkan sebilah parang di leher pengadu sambil mengugut akan membunuh mangsa sekiranya dia membuat bising.

"Suspek kemudiannya telah memaksa pengadu memberitahu di mana barang kemas, duit serta kunci kereta sebelum mangsa memberitahu ia berada di dalam bilik," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya lagi, suspek kemudian menggeledah bilik terbabit dan mengambil wang tunai kira-kira RM1,000, dua telefon bimbit jenis Oppo, satu kunci Honda HRV serta dompet yang mengandungi kad pengenalan, kad bank dan kad pesara.

Zulkiflee berkata, suami mangsa pergi menunaikan solat Jumaat di masjid ketika kejadian itu berlaku.

"Selepas kedua-dua suspek memperolehi barang tersebut, mereka bertindak melarikan diri melalui pintu bahagian dapur dan meninggalkan pengadu dalam keadaan terikat.

"Sebilah parang yang digunakan salah seorang suspek telah ditinggalkan kerana senjata itu kepunyaan suami pengadu," tambahnya mangsa tidak mengalami kecederaan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa, memaparkan kelibat suspek yang memakai topeng telah mengumpil pintu bahagian belakang rumah terbabit.

Katanya, kes dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram