NAMA Universiti Putra Malaysia kembali harum di persada institusi pengajian tinggi awam negara selepas graduan kejuruteraan perisian dipilih sebagai penerima biasiswa Rhodes untuk Malaysia bagi 2025.
Lelaki itu, Hoh Jia Da akan bergabung dengan sekumpulan penerima biasiswa yang cemerlang dari seluruh dunia untuk memulakan pengajian pascasiswazah di Universiti Oxford, United Kingdom pada Oktober 2025.
Untuk rekod, biasiswa Rhodes untuk Malaysia merupakan hasil kerjasama antara Rhodes Trust dan Yayasan Khazanah.
Jia Da mahu menggabungkan Al dengan teknologi baharu di Oxford.
Di Oxford, anak jati Johor itu mahu melanjutkan pengajian dalam dua bidang iaitu Sains Komputer Termaju dan Pentadbiran Perniagaan (MBA).
Matlamatnya adalah untuk menggabungkan kecerdasan buatan (AI) dengan teknologi baharu bagi menghasilkan penyelesaian yang memberi impak positif kepada masyarakat.
Perjalanan hidup Jia Da merupakan satu contoh yang patut diteladani individu di luar sana kerana remaja itu memiliki semangat juang yang luar biasa.
Jia Da dikenali sebagai Little Flying Fish sewaktu kecil kerana merupakan perenang yang hebat.
Sewaktu kecil, Jia Da yang bersekolah rendah di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK C) Nam Heng, Johor terkenal sebagai perenang berbakat sehingga diberi gelaran 'Little Flying Fish'.
Namun, ketika di usia remaja, satu kemalangan berlaku yang menyebabkan beberapa tulangnya patah sehingga memerlukan pembedahan.
Sejak itu, beliau memilih untuk mengubah hala tuju hidup dan memberi fokus kepada impak akademik dan sosial.
Jia Da, yang juga graduan Kolej Yayasan Saad telah mencapai pelbagai pencapaian membanggakan.
Antaranya, beliau berjaya meraih kemenangan dalam Asean Humanitarian Assistance Hackathon di Jakarta, Indonesia dan dinobatkan sebagai Ikon Teknologi Belia Malaysia pada 2022 oleh Kementerian Belia dan Sukan.
Sebagai seorang Felo Perdana, Jia Da turut aktif dalam usaha menutup jurang pendidikan dan menggalakkan amalan lestari dalam kalangan komuniti yang kurang berkemampuan.
Beliau juga merupakan pengasas bersama The EduLab, sebuah perusahaan sosial yang bertujuan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan kanak-kanak.
Jia Da merupakan graduan kejuruteraan perisian UPM.
Bagi Jia Da, penerimaan biasiswa Rhodes bukan sekadar satu penghormatan peribadi tetapi juga bukti kepada kekuatan ketabahan, tujuan hidup serta sokongan yang tidak pernah putus daripada mereka yang membimbingnya.
Beliau menganggap peluang itu sebagai satu langkah untuk merealisasikan impian yang berpotensi memberi perubahan besar kepada masyarakat.
"Dalam perjalanan saya di Oxford, saya berharap dapat menambah dan mendalami pemahaman mengenai persimpangan antara teknologi, polisi dan impak sosial. Sambil itu, saya mahu membina hubungan dengan individu-individu yang berdedikasi dalam menangani cabaran global," kata Jia Da.
Jia Da percaya bahawa teknologi yang berkembang pesat, jika digerakkan dengan empati dan inovasi mampu memperbaiki kehidupan komuniti yang kurang bernasib baik dan memberi perubahan yang berkekalan.
Beliau bertekad untuk memberi sumbangan yang bermakna kepada transformasi digital Malaysia serta memberi inspirasi kepada orang lain untuk mengejar impian mereka yang dapat impak positif dalam kehidupan masing-masing.
Setiausaha Kebangsaan Rhodes Trust untuk Malaysia, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan turut memuji Jia Da sebagai calon yang luar biasa, dengan ketabahan, pemikiran inovatif dan komitmen terhadap kemajuan masyarakat dengan nilai-nilai yang seiring dengan prinsip-prinsip Rhodes.
"Sebagai penerima biasiswa Rhodes 2025 untuk Malaysia, Jia Da berpotensi menjadi pemangkin perubahan positif.
"Kami yakin beliau akan membawa penyelesaian kepada cabaran kritikal di Malaysia dan luar negara," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Program Yayasan Hasanah, Intan Zalila Mohd Yusof turut memberi sokongan penuh terhadap Jia Da.
"Pemilihan Jia Da mencerminkan komitmen yang tidak berbelah bagi dalam memanfaatkan teknologi untuk kebaikan masyarakat.
"Kami bangga menyokong perjalanan beliau dan kami yakin ia akan memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan Malaysia dan memberi inspirasi kepada orang lain di sepanjang perjalanan ini," katanya.
Biasiswa Rhodes, yang ditubuhkan pada tahun 1903 adalah anugerah pengajian pascasiswazah antarabangsa yang tertua dan paling berprestij di dunia.
Setiap tahun, sebanyak 100 biasiswa penuh diberikan kepada individu yang menunjukkan kecemerlangan akademik, kepimpinan dan komitmen terhadap penyelesaian cabaran global.
Sejak diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2016, Program Biasiswa Rhodes telah memberi peluang kepada 11 rakyat Malaysia untuk melanjutkan pengajian di Universiti Oxford.
Dengan semangat untuk membawa perubahan dan memberi impak kepada masyarakat, Jia Da menjadi contoh yang menginspirasikan.
Beliau membuktikan bahawa ketabahan, visi dan komitmen untuk memberi sumbangan kepada masyarakat mampu membuka jalan untuk mencapai impian yang lebih besar. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram