[VIDEO] Dua sahabat mengaku bersalah lakukan rompakan bersenjata di Muar


Tangkap layar kes samun bersenjatakan parang di Taman Sri Treh dekat Muar, Johor pada 17 Disember lepas.

DUA suspek yang melakukan rompakan bersenjata di Taman Sri Treh dekat Muar, Johor pada 17 Disember lalu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Muar pada Jumaat.

Tertuduh, Ku Kim Cheong, 35, dan Chu Ching Hwai, 35, mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dikemukakan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Bagaimanapun, memetik laporan Kosmo!, hakim menetapkan 24 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi pihak pendakwaan melengkapkan fakta kes serta hukuman terhadap tertuduh.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak peduli ada budak, 2 suspek larikan diri sampai ke Jasin lepas samun rumah di Muar

BACA LAGI: [VIDEO] Tiga individu termasuk 2 wanita ditahan dalam tempoh 24 jam selepas pecah rumah di Muar

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan senjata berupa parang dan besi kuku kambing di Jalan Treh 13, Taman Sri Treh 1.

Perbuatan itu dilakukan pada pukul 5.20 petang, 17 Disember lalu dan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan manakala Seksyen 397 boleh dikenakan sebatan selain apa-apa hukuman yang boleh dikenakan mengikut mana-mana seksyen lain kanun ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Di mahkamah sama, Kim Cheong dan Ching Hwai turut mengaku bersalah mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 39C (1) (b) akta sama.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan setiap seorang selain pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman berkenaan.

Kedua-dua tertuduh turut mengaku bersalah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan pemilik rumah berusia 33 tahun, pada pukul 5.10 petang di lokasi dan tarikh sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqiilan Ahmad Rofaei memohon kebenaran mahkamah untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen selari dengan Seksyen 167 yang dibaca bersama Seksyen 177 Kanun Prosedur Jenayah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi tujuan fakta dan hukuman yang kemudiannya ditetapkan pada 24 Januari.

Sebelum ini, media melaporkan kedua-dua suspek bagi kes samun dan bersenjata yang tular di Muar didapati melarikan diri sehingga ke Jasin, Melaka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan pada Selasa mengenai kejadian tersebut yang berlaku di Taman Sri Treh, Muar, Johor.

Siasatan yang dilakukan pihak polis mendapati suspek yang terdiri daripada dua orang melarikan diri dan meninggalkan kereta yang dinaiki mereka di Jasin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram