SIAPA sangka anak yang memiliki masalah sindrom Down (DS) mampu menemukan ketenangan di sebalik kebun tanaman yang penuh kehijauan.
Walaupun dilahirkan dengan keadaan yang tidak sama dengan individu lain, minat mendalam remaja itu, Yan Wei Xing terhadap aktiviti berkebun bukan hanya sekadar hobi tetapi juga satu perjalanan hidupnya yang membuka peluang baru untuk berkembang.
Wei Xing menjaga lebih 50 spesies tanaman di kebunnya termasuk bunga-bungaan seperti begonia dan caladium.
BACA LAGI: Nikmati keindahan Melaka di Casa del Rio, gah dengan sentuhan Baba Nyonya
Wei Xing mulai berkebun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tak hanya untuk kegunaan sendiri, Wei Xing juga menjual tanaman dalam pasu dan hasil jualannya disimpan untuk tabung pendidikan dan simpanan masa depannya.
Ibunya, Florence Lim, yang aktif mempromosikan tanaman Wei Xing di pelbagai kumpulan Facebook berkata, jualan itu turut memberi peluang kepada anaknya untuk berinteraksi dengan orang ramai dan meningkatkan keyakinannya.
Perjalanan Wei Xing dalam berkebun bermula semasa pandemik Covid-19.
Ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan, Florence dan suaminya, Yan Kim Fui memperkenalkan Wei Xing kepada aktiviti menanam.
Mereka tidak menyangka bahawa hobi itu akan memberi kesan yang mendalam kepada perkembangan anak mereka.
"Berkebun memberi ketenangan kepada Wei Xing. Dia sangat gembira melihat tanaman-tanamannya tumbuh dengan sihat.
"Ia memberi rasa pencapaian dan memberi ruang untuknya berinteraksi dengan dunia luar," kata ibunya yang berusia 48 tahun itu.
Florence mahu mengajar anaknya hidup berdikari dan menjalani kehidupan yang memuaskan.
Walaupun Wei Xing memerlukan masa yang lebih lama berbanding kanak-kanak sebaya untuk menguasai kemahiran baru, ibunya percaya bahawa setiap usaha dan pencapaian kecil harus diraikan.
Melalui kebun itu, Wei Xing bukan sahaja belajar menjaga tumbuhan tetapi juga belajar untuk bertanggungjawab dan berkomunikasi dengan pelanggan yang membeli tanaman daripadanya.
Sebagai ibu bapa, Florence dan suaminya melalui banyak cabaran selepas mengetahui bahawa Wei Xing dilahirkan dengan DS.
Selain itu, Wei Xing juga menghadapi masalah kesihatan sejak kecil apabila dia disahkan menghidap penyakit Hirschsprung, yang memerlukannya menjalani beberapa pembedahan.
Pada waktu itu, Florence memilih untuk berhenti kerja dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemulihan dan pendidikan anaknya.
Namun, cabaran itu tidak membuatkan keluarga itu berputus asa.
Florence mula mengajar Wei Xing menggunakan Kaedah Doman, sebuah teknik pendidikan yang dirancang untuk kanak-kanak dengan keadaan neurodevelopmental seperti DS.
Kaedah ini menggabungkan latihan fizikal, kognitif dan sensori dengan pendekatan yang menyeronokkan agar pembelajaran dapat diterima dengan mudah oleh anak-anak.
“Kami tahu bahawa Wei Xing akan belajar dengan lebih perlahan, tetapi dengan kesabaran dan pendekatan yang betul, kami percaya dia mampu mencapai lebih banyak,” jelas Florence.
Kini, selain berkebun, Wei Xing juga menunjukkan minat dalam muzik.
Dia telah mengambil pelajaran piano sejak berusia dua tahun dan baru-baru ini menamatkan ujian piano Tahap Dua.
Wei Xing juga bersekolah di sebuah institusi Montessori di Puchong untuk mempelajari kemahiran asas seperti membaca, menulis dan seni kraf.
Florence berkata, pencapaian itu adalah hasil daripada pendekatan yang tidak tergesa-gesa dan memberi ruang kepada Wei Xing untuk belajar pada kelajuannya sendiri.
“Dia memerlukan lebih banyak masa untuk menguasai kemahiran baru. Tetapi apabila dia berjaya, itu adalah detik kebanggaan bagi kami.
"Kini dia boleh berbasikal sendiri, berenang dengan pelbagai gaya dan bermain piano dengan baik,” katanya dengan bangga.
Bagi Florence dan suaminya, memberi Wei Xing peluang untuk membina kemahiran yang pelbagai adalah kunci untuk membolehkan anak mereka hidup berdikari suatu hari nanti.
“Kami mahu memberikan Wei Xing kemahiran yang akan membantunya memilih jalan hidupnya sendiri.
"Sama ada dia mahu menjadi seorang pelukis, pemuzik atau seorang ahli hortikultur, kami percaya dia boleh mencapai apa sahaja yang dia impikan," ujar Florence. — The Star/SHEELA CHANDRAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram