SEORANG wanita yang bertindak mencuri beg tangan milik pelanggan di sebuah pasar raya di Pandamaran dekat Klang, Selangor sudah ditahan polis pada Khamis.
Tangkapan tersebut disahkan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong melalui satu kenyataan pada Ahad.
Katanya, laporan berkaitan kejadian sebelum itu dibuat mangsa yang juga merupakan wanita berumur 39 tahun pada Rabu.
BACA LAGI: Lelaki ditahan disyaki menyamar jadi polis, samun warga asing di Klang
"Siasatan mendapati dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari pada Rabu, mangsa menyedari beg tangannya didapati telah hilang dipercayai dicuri.
"Semakan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati mangsa meletakkan beg tangan berkenaan di troli ketika membeli barangan di pasar raya berkenaan.
"Suspek seorang wanita kemudiannya dilihat mengambil beg tangan mangsa sebelum beredar dari pasar raya itu," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau lagi, kejadian mengakibatkan mangsa kehilangan dokumen peribadi, tablet, telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM3,000.
"Siasatan dijalankan membawa kepada tangkapan suspek yang merupakan wanita tempatan berumur 37 tahun kira-kira pukul 1 pagi pada Khamis.
"Suspek yang diberkas anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan itu ditahan di sebuah rumah di Bandar Bukit Tinggi, turut dirampas pelbagai barangan dipercayai milik mangsa," katanya.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
"Kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan telah dituduh di Mahkamah Majistret Klang, Jumaat lalu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram