MENULIS buku boleh dikategorikan sebagai antara seni yang memerlukan kreativiti, kesungguhan untuk mencipta sesuatu cerita yang berkualiti.
Berkecimpung selama lebih 10 tahun dalam bidang penulisan kreatif, Suzana Ahmad atau lebih dikenali sebagai Sue Emoqwin sering menekankan keperluan untuk merangka cerita dengan jelas supaya mudah difahami para pembacanya.
Berkongsi pandangan tentang cabaran menulis terutamanya buku bergenre fiksyen, struktur atau jalan cerita amat penting bukan sahaja memberi hala tuju kepada penulis, malah menjadikan ia sebagai naratif yang lebih menarik.
BACA LAGI: 'Kami macam ibu bapa mereka', warden Rumah Aman belajar selami kehidupan kanak-kanak tiada keluarga
Selain menulis, Sue juga merupakan penggemar buku fiksyen.
Namun, bagi Sue, kecerdasan buatan (AI) mula menjadi alat bantu yang popular dalam bidang itu.
Sebagai penulis, Sue juga tidak terkecuali untuk memanfaatkan teknologi tersebut seperti ChatGPT untuk mendapatkan idea dengan lebih pantas dan mudah.
Katanya, penggunaan AI tidak semestinya dapat menggantikan atau menjejaskan peranan manusia.
"Walaupun AI ini cerdas, tetapi ia tidak memiliki empati atau perasaan yang ada pada manusia.
"Ia boleh beri cadangan teknikal atau hasilkan teks yang teratur, tetapi kedalaman emosi dan elemen jiwa yang unik hanya mampu ditambah oleh penulis," katanya kepada Majoriti.
Penggunaan AI bagaimanapun tidak dapat menandingi kemampuan manusia. — Gambar hiasan/Agensi
Kata Sue, AI mungkin membantu mempercepatkan proses melengkapkan penceritaan, namun ia tidak dapat dinafikan boleh menghalang perkembangan pemikiran kreatif seseorang penulis itu.
Hal ini kerana, terlalu bergantung kepada AI berkemungkinan mampu menyekat potensi terutama bagi penulis baharu.
"Saya sendiri guna ChatGPT untuk rangka penulisan dan untuk cepatkan lagi kerja. Kadang-kala kita sebagai penulis perlukan idea daripada kawan-kawan atau sesiapa sahaja untuk hasilkan sesuatu cerita.
"Tetapi, sekarang kita ada AI yang mampu berkongsi idea dan bantu kita dalam komunikasi dua hala," jelasnya.
Proses seperti parafrasa atau menghasilkan draf awal boleh dipercepatkan dengan bantuan AI.
Susunan atau rangka cerita boleh dilakukan dengan bantuan AI bagi menambah elemen-elemen menarik sebelum ia diterbitkan.
Namun, seperti yang ditekankan Sue, penulis harus memastikan mereka tetap menjadi 'pemilik naratif dan keputusan akhir perlu dilakukan ole penulis sendiri.
"Bagi saya, kita semua memang tak boleh lari daripada AI. Kalau mereka tak mahu guna memang akan jadi orang yang rugi sebab kita semua perlu buat kerja dengan cepat sekarang.
"Tak semestinya semua maklumat yang diberi oleh AI perlu digunakan semua. Kita ada kemampuan untuk menapis semula segala info itu," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram