PENGGUNAAN rokok, vape dan dadah kini menjadi isu yang semakin menimbulkan kebimbangan ramai khususnya melibatkan generasi muda.
Bahayanya bukan sahaja memberi kesan besar kepada individu, malah terhadap keluarga, komuniti, organisasi serta negara.
Dalam konteks itu, pendidikan awal sememangnya penting demi membentuk kesedaran terutamanya golongan kanak-kanak tentang bahaya ketiga-tiga bahan tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] Akta Kawalan Produk Merokok: Ketagih rokok, vape, lemah iman
BACA LAGI: [VIDEO] Akta Kawalan Produk Merokok: Bongkar! Modal keras, kedai vape kena gelapkan cermin
Vape antara bahan berbahaya terutamanya buat golongan kanak-kanak. — Gambar hiasan
Ditambah pula dengan peredaran zaman yang kini semakin canggih sekali gus memudahkan pembelian rokok atau vape secara dalam talian.
Susulan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) juga mengambil tindakan tegas dengan memperkenalkan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Ia bertujuan mengurangkan penggunaan rokok dan produk tembakau termasuk larangan merokok di tempat awam dan pengurangan iklan tembakau.
Bagaimanapun, langkah itu mungkin tidak akan berkesan sekiranya tiada pendedahan awal dilakukan.
Justeru, program kesedaran dalam komuniti setempat amat penting bagi memberi ilmu serta membuka mata masyarakat dengan lebih luas tentang bahaya bahan tersebut.
Penghuni Rumah Aman yang diberi pendedahan tentang bahaya rokok, vape dan dadah.
Itu yang diterapkan dalam Program Breathing Easy: Say No to Vaping & Smoking, Fresh Air, Stronger Tomorrow yang dianjurkan pelajar Sarjana Muda Komunikasi Interpersonal Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor pada Sabtu minggu lepas.
Dengan kerjasama Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sungai Buloh, program tersebut bukan sahaja untuk meningkatkan kesedaran, tetapi turut membina masa depan yang lebih sihat dan cerah untuk generasi muda.
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Norhayati Baba berkata, Rumah Aman Children's Home di Sungai Buloh, Selangor menjadi pilihan agar dapat memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak daripada pelbagai peringkat umur iaitu dari tujuh hingga 17 tahun.
Norhayati berkata, ia bertujuan memberi suntikan kesedaran kepada anak-anak tersebut melalui ilmu dan maklumat yang disampaikan.
"Sebenarnya tiada spesifik sebab mengapa memilih rumah kebajikan kanak-kanak ini, tetapi kami lihat kesesuaian anak-anak di rumah perlindungan ini.
"Dengan jumlahnya yang hanya kira-kira 40 orang dan peringkat umur masih kecil, jadi sangat sesuai untuk kami beri pendedahan awal kepada mereka.
"Ini supaya mereka lebih faham mengapa dan bagaimana perkara ini memberi kesan dalam kehidupan jangka masa panjang secara tidak langsung mereka akan sentiasa berwaspada apatah lagi bila melibatkan percampuran, pergaulan bersama dengan rakan-rakan di luar," katanya kepada Majoriti.
Aktiviti perbincangan antara satu sama lain membantu kanak-kanak di Rumah Aman memahami bahaya bahan tersebut dengan lebih terperinci.
Katanya, aktiviti interaktif seperti bengkel dan permainan didapati lebih berkesan dalam menyampaikan mesej kepada kanak-kanak.
Berbanding ceramah biasa, aktiviti sedemikian dapat melibatkan kanak-kanak secara aktif dan membolehkan mereka belajar sambil berhibur.
"Sebagai contoh, mereka diajar tentang jenis-jenis dadah, kesannya terhadap kesihatan dan bagaimana bahan-bahan ini boleh menyusup masuk ke dalam kehidupan seharian tanpa mereka sedar.
"Kaedah ini bukan sahaja membantu mereka memahami isu tetapi juga membuka ruang perbincangan yang membina.
"Mereka dididik untuk lebih berwaspada dalam pergaulan, khususnya dengan rakan-rakan yang mungkin memperkenalkan mereka kepada tabiat merokok atau vape," jelasnya.
Setiap kanak-kanak diberi peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti tersebut.
Tambahan pula, penghuni Rumah Aman tidak mempunyai akses kepada peranti mudah alih atau gajet sekali gus menjadikan program pendidikan secara langsung itu lebih relevan dan berkesan.
Jelasnya, bengkel tersebut turut membolehkan kanak-kanak itu berbincang, bertanya dan memahami isu yang dibentangkan.
"Sebab anak-anak ni juga seperti masyarakat di luar sana mereka juga perlu mendapatkan maklumat-maklumat sebegitu sebab mereka ni tiada telefon pintar di tangan.
"Akses komputer pun sangat terhad dan berkemungkinan mereka tidak dapat pendedahan. Jadi, bila kita adakan aktiviti seperti ini dapat membantu menyampaikan maklumat secara terus," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram