RAKYAT Malaysia yang merancang pulang ke kampung halaman bagi menyambut Tahun Baharu Cina (CNY) sudah mula membeli tiket bas ekspres sejak November tahun lalu.
Menurut Persatuan Pengusaha Bas Johor Bahru, Datuk Dr Suchdav Jatistrop, destinasi paling popular ialah Kuala Lumpur, Ipoh, Butterworth, George Town, dan Alor Setar.
"Majoriti mereka yang pulang ke tempat-tempat ini adalah penduduk tempatan yang bekerja di Singapura," katanya ketika dihubungi.
Menurut Suchdav, jualan tiket untuk Tahun Baharu Cina dijangka meningkat minggu ini.
"Orang ramai kini sudah boleh mula merancang perjalanan pulang sekiranya permohonan cuti mereka diluluskan.
BACA LAGI: Tambang bas ekspres ekonomi naik 10 peratus sempena Aidilfitri
BACA LAGI: PPBSM dedah alasan tambang bas sekolah naik RM10 ke RM20
“Tiga hari sebelum sambutan itu akan menjadi waktu paling sibuk kerana ramai yang akan pulang ke rumah,” tambahnya.
Suchdav turut mengulas kejadian baru-baru ini yang mana seorang wanita mendakwa dirinya ditinggalkan pemandu bas ekspres di sebuah stesen minyak Ayer Keroh di Melaka.
Berkenaan insiden yang berlaku, Suchdav mengingatkan bahawa adalah penting untuk mendapatkan cerita kedua-dua belah pihak.
“Jarang sekali penumpang ditinggalkan pemandu bas semasa perhentian tandas, yang biasanya mengambil masa antara 15 hingga 20 minit,” jelasnya.
Dalam satu kiriman media sosial, seorang penumpang mendakwa dia terkandas di stesen minyak ketika tengah malam sewaktu dalam perjalanan dari Johor ke Perak.
Penumpang itu cuba menghubungi pemandu bas menggunakan telefon bimbit pemandu lori dan mendakwa usahanya tidak diendahkan.
Bagaimanapun, dia akhirnya menaiki bas semula dan meneruskan perjalanan selepas berjaya mengejar pemandu bas di Senawang dengan bantuan pekerja stesen minyak dan pemandu lori.
Suchdav menjelaskan, pemandu bas kadangkala menghadapi masalah mencari tempat letak kereta dan penumpang mungkin perlu berjalan agak jauh untuk ke tandas pada waktu puncak.
"Kebiasaannya, pemandu tidak akan keluar sebelum membuat pengiraan," tambahnya.
Dalam pada itu, Suchdav turut menasihatkan mereka yang akan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan menaiki bas ekspres dari Johor Bahru supaya tiba awal.
"Lebih baik tiba awal daripada lewat ke lapangan terbang dan kami tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya berlaku kemalangan besar di sepanjang lebuh raya," ujar Suchdav. — The Star/ZAZALI MUSA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram