'Kena ada mentaliti pelancongan', pengusaha agensi 'travel' Thailand beri tip jayakan Tahun Melawat Kedah 2025


  • Massa
  • Khamis, 09 Jan 2025

Poster berserta wajah Sanusi yang diletakkan di sebuah pintu tanpa sebarang maklumat lanjut tentang promosi TMK 2025. — Facebook

PROMOSI pelancongan Malaysia kini menjadi satu isu hangat yang sering diperkatakan di serata media sosial.

Ia termasuk sasaran enam juta pelancong sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 yang bermula sejak 1 Januari lalu.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan bahawa terdapat beberapa lokasi utama diadakan sambutan untuk menyambut pelancong luar masuk ke negeri itu sempena hari pertama TMK 2025.

BACA LAGI: Taska terkait kes kematian bayi 4 bulan di Saujana Putra tiada lesen, diarah tutup

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki tercengang motor kena curi depan mata lepas keluar kedai runcit di Kota Bharu

Antaranya di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi serta Plaza Tol Utara dan Selatan.

Katanya, kerajaan negeri melalui Exco Pelancongan juga menyediakan hampir 150 acara dan program menarik yang disusun sepanjang 2025.

Namun, ia nampaknya memberi kekecewaan terhadap pengunjung terutamanya dari luar negeri selepas melawat ke Kedah.

Sama seperti pengguna akaun Facebook Cikgu Joe Satun berasa sedikit hampa dengan strategi promosi yang dilakukan bersempena TMK 2025.

"Sudah empat malam aku berada di Sungai Seluang. Semalam aku ke Pantai Murni Yan sempena TMK 2025. Namun keadaannya seperti biasa sahaja.

"Pada 5 Januari, aku berada di Alor Setar, keadaannya seperti biasa sahaja. Atau aku tak tahu di mana berlangsungnya TMK 2025," tulisnya.

Katanya, banner atau bunting yang memberitahu tentang promosi pelancongan tersebut juga tidak kelihatan.

Mengulas lanjut, Cikgu Joe Satun atau nama sebenar Abdul Halim Othman, 57, yang juga berasal dari Kedah dan pengusaha perkhidmatan pelancongan di Thailand berkata, gambar poster berserta wajah Sanusi di sebuah pintu di Majlis Perbandaran Kulim, Kedah itu juga tiada sebarang maklumat lanjut tentang TMK 2025.

6339084632263345475

Joe Satun yang berpengalaman dalam bidang pelancongan selama 14 tahun di Thailand.

Katanya, pihak pelancongan Kedah seharusnya membuat lebih banyak promosi di seberang sempadan Thailand.

"Contohnya, menjemput dan menaja pempengaruh dari Thailand untuk membuat review dalam bahasa Thailand untuk menarik minat pelancong Thailand ke Kedah.

"Memandangkan sudah ada perkhidmatan kereta api antara Butterworth, Pulau Pinang ke Hat Yai, Thailand sehari dua kali, ini adalah peluang untuk memberi infomasi kepada pelancong Thailand tentang Kedah.

"Untuk menjadi destinasi pelancongan, semua penduduk Kedah kena ada mentaliti pelancongan. Contohnya, ramah mesra menyambut tetamu.

"Kalau kita ke Hat Yai Night Bazaar, dan kita melintasi gerai mereka, pembantu kedai amat ramah menegur kita," katanya kepada Majoriti.

Katanya yang sudah berpengalaman selama 14 tahun di Thailand, secara amnya, bandar Alor Setar jauh lebih bersih dan indah jika mahu dibandingkan dengan Hat Yai.

Namun, ada juga yang melihat daripada sudut positif dengan menyarankan untuk lebih ramai rakyat tempatan memberi pendedahan tentang promosi pelancongan di negeri masing-masing.

"Kepandaian orang kita adalah pergi melancong, bukan mengamit pelancong. Jadi, orang-orang macam cikgu ini berpuluh tahun menimba pengetahuan di negara industri pelancongan (Thailand) amat diperlukan untuk membimbing warga kita dalam membangunkan industri ini," kata Zaidi Tajudin.

Isu itu juga sama seperti yang berlaku pada video promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 yang menimbulkan pertikaian orang ramai.

Namun, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengambil tindakan pantas dengan meminta agensi berkaitan untuk menghasilkan promosi mengikut zon. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram