PULAU Pinang sememangnya dikenali sebagai tempat pertembungan budaya yang memukau, mempamerkan keunikan pengaruh masyarakat tempatan yang jelas terlihat dalam makanan, seni bina, serta tradisinya.
Dari jalan-jalan yang dipenuhi mural seni di George Town, hingga ke keindahan pantai di Batu Ferringhi, Pulau Pinang menawarkan pengalaman yang sukar dilupakan kepada para pelancong.
Sehubungan itu, tidak hairanlah negeri tersebut merupakan destinasi yang tidak boleh dilepaskan bagi mereka yang ingin mengecapi pengalaman yang luar biasa.
Terbaharu, portal pelancongan terkenal dunia, Lonely Planet menyenaraikan Pulau Pinang sebagai salah satu daripada tujuh tempat terbaik untuk dilawati di Asia Tenggara.
Menerusi laman webnya 2 Januari lepas, Lonely Planet menggambarkan Pulau Pinang sebagai gabungan budaya berwarna-warni dengan pengaruh Melayu, Cina dan India yang terserlah dalam makanan, seni bina dan tradisi.
Lonely Planet menggambarkan Pulau Pinang sebagai gabungan budaya berwarna-warni dengan pengaruh Melayu, Cina dan India yang terserlah dalam makanan, seni bina dan tradisi.
"Ibu negeri pulau tropika itu, George Town berjaya mengubah warisannya menjadi sesuatu yang dapat menarik pelancong namun tetap mengekalkan keasliannya. Di satu bandar, anda boleh melawat rumah warisan Cina, masjid, kuil Hindu, dan bangunan kolonial British.
"Di luar George Town, Taman Negara Pulau Pinang menawarkan pantai yang indah dan laluan mendaki melalui hutan," menurut laman web tersebut.
Selain Pulau Pinang, Lonely Planet turut menamakan Taman Negara Khao Sok, Thailand di tempat pertama selain Cao Bang, Vietnam,Siargao, Filipina,Luang Prabang, Laos, Amed dan Bali serta Gili Air di Indonesia dalam senarai itu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai mengucapkan tahniah kepada negeri itu atas pencapaian tersebut.
"Tahniah kepada Pulau Pinang kerana telah disenaraikan sebagai satu daripada tujuh tempat terbaik untuk dilawati di Asia Tenggara oleh Lonely Planet," katanya.
7 Tempat Terbaik untuk Dilawati di Asia Tenggara menurut Lonely Planet
1. Taman Negara Khao Sok, Thailand – Terbaik untuk pencinta haiwan
2. Cao Bang, Vietnam – Terbaik untuk destinasi luar kebiasaan
3. Siargao, Filipina – Terbaik untuk aktiviti meluncur ombak
4. Luang Prabang, Laos – Terbaik untuk budaya Buddha
5. Amed, Bali – Terbaik untuk lokasi menyelam dan snorkeling
6. Gili Air, Indonesia – Terbaik untuk bersantai
7. Pulau Pinang, Malaysia – Terbaik untuk sejarah dan budaya
Pada Julai tahun lalu, Lonely Planet turut menamakan Pulau Pinang sebagai dua tempat terbaik di Asia Tenggara untuk pengembara solo, dengan menyatakan makanan jalanan yang beraneka dan budaya tempatan yang kreatif sebagai daya tarikan utama pulau itu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram