Fasih berbahasa Kantonis, gerai Singh Laksa di Seremban gabungkan rasa 3 kaum hasil usaha 2 dekad suami isteri


  • Bizz
  • Khamis, 09 Jan 2025

Rajinder (kiri) kini menjadi 'ketua tukang masak laksa' di gerainya, manakala Manjit (kanan) menguruskan hidangan lain.

KEFASIHAN seorang lelaki Sikh berbahasa Kantonis menjadi individu di sebalik hidangan laksa kini menjadi bualan ramai.

Laksa hasil air tangan Rajinder Singh, 70, mampu bersaing dengan keunikan laksa asam Pulau Pinang.

Rajinder mengendalikan gerai Singh Laksa yang terkenal dengan laksa khasnya, disediakan menggunakan campuran rempah seperti serbuk kari, kunyit, ketumbar, daun kari dan serai.

BACA LAGI: [VIDEO] Satu-satunya pembekal di Yan, 'cendoi' hasil tangan Nur Farhanis ketengah resipi asli orang lama

BACA LAGI: Dari kecil jarang masuk dapur, bekas juruukur bahan kini miliki 'central kitchen' sendiri bekalkan kek sekitar Lembah Klang

Hidangan tersebut disempurnakan dengan sambal vegetarian buatan sendiri yang menaikkan lagi rasanya.

“Kami mendapat ilham hasil daripada kekayaan warisan kulinari Malaysia,” kata Rajinder, yang memberitahu bahawa ibunya berketurunan Cina.

Bersama isteri tercinta, Manjit Kaur, 63, Rajinder telah mengusahakan gerai itu selama lebih 20 tahun.

Laksa di gerainya menggabungkan pengaruh masakan Cina, India dan Melayu dengan kuah yang diperkayakan dengan aroma rempah yang menyerupai laksa kari atau mi kari popular di kawasan tengah Malaysia.

Namun, keistimewaan Singh Laksa terletak pada kuahnya yang vegetarian, tanpa penggunaan santan, sebaliknya menggunakan susu cair.

“Mengambil kira cita rasa pelanggan, kami bereksperimen dengan pelbagai campuran rempah dan bahan,” jelas Manjit.

Resipi yang digunakan kini berjaya memikat pelbagai golongan pelanggan, termasuk yang bukan vegetarian, dengan pilihan tambahan seperti telur rebus, bebola ikan atau hirisan kek ikan.

singh

Antara menu hidangan yang ditawarkan di gerai Singh Laksa.

Inspirasi keluarga

Kisah Singh Laksa bermula ketika Rajinder bekerja di bahagian jualan sebuah syarikat multinasional.

Dengan anak-anak mereka yang sudah menginjak dewasa, Manjit, yang merupakan seorang suri rumah dan mahir dalam pelbagai jenis masakan seperti Punjabi, Cina, Melayu, India Selatan dan Barat, mula mencari cabaran baharu.

Dia mengambil peluang untuk mempelajari asas penyediaan laksa daripada pasangan warga emas berbangsa Cina yang ingin menutup perniagaan mereka.

Setelah setahun bereksperimen dan memperhalusi resipi laksa sendiri, Manjit memulakan perniagaan dengan menjual nasi lemak, rendang ayam dan kari kambing, yakni hidangan yang masih terdapat di gerai Singh Laksa sehingga kini.

Selepas bersara, Rajinder menyertai perniagaan tersebut dan kini menjadi 'ketua tukang masak laksa', manakala Manjit menguruskan hidangan lain.

Pasangan itu memulakan hari mereka seawal pukul 5 pagi untuk menyediakan bahan-bahan bagi laksa serta makanan lain seperti thosai, roti canai.

Membesar dengan laksa

Gerai mereka yang terletak di Jalan Temiang, Seremban, Negeri Sembilan menjadi tumpuan ramai, terutamanya pelajar dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chan Wa yang berdekatan.

Bahkan, ramai bekas pelajar sering berkunjung ke gerai itu untuk mengadakan perjumpaan bersama rakan-rakan.

“Kebanyakan pelanggan membesar dengan makan laksa di sini. Kami ada pelanggan tetap yang datang dari China, Singapura malah ada juga dari Amerika Syarikat (AS),” kata Manjit.

Walaupun anak-anak meminta agar mereka bersara, nenek kepada dua cucu itu bertegas mahu terus menyediakan makanan kepada orang ramai.

Bagi Manjit, kecintaannya terhadap aktiviti memasak dan memberi makan kepada orang ramai diwarisi daripada arwah bapanya yang dahulunya memasak di Gurdwara Sahib Petaling Jaya, Selangor.

“Saya tidak dapat bayangkan untuk menutup gerai ini selepas bertahun-tahun mengusahakannya, malahan saya mengenali cita rasa pelanggan kami,” tambahnya dengan penuh semangat.

Singh Laksa bukan sahaja sebuah gerai makan, tetapi juga lambang kepelbagaian budaya dan tradisi Malaysia.

Dengan gabungan rasa dari tiga budaya utama, Cina, India dan Melayu, ia membuktikan bahawa makanan mampu menjadi medium perpaduan serta mencipta memori indah bagi generasi lalu dan akan datang. — The Star/CS NATHAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram