[VIDEO] Menyamar tukang cuci, warga asing cuba culik budak lelaki 2 tahun diberkas orang awam di Rawang


  • 112
  • Rabu, 23 Okt 2024

Tangkap layar seorang lelaki warga asing hanya mampu mengerang kesakitan apabila suspek berjaya diberkas orang kampung di Kampung Bunga Raya dekat Kuang, Rawang, Selangor pada Selasa.

PADAH cuba menculik seorang kanak-kanak berusia dua tahun, seorang lelaki warga asing hanya mampu mengerang kesakitan apabila suspek berjaya diberkas orang kampung di Kampung Bunga Raya dekat Kuang, Rawang, Selangor pada Selasa.

Kejadian itu turut tular di laman media sosial apabila beberapa video menunjukkan lelaki itu diikat serta ditahan orang awam berhampiran lokasi kejadian pada hari yang sama.

Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor, polis terkesan dengan dua video tular di Facebook menunjukkan seorang lelaki warga asing sedang disoal siasat selain satu lagi video menunjukkan lelaki itu dalam keadaan terbaring dengan tangan diikat.

BACA LAGI: Ambil iktibar tragedi Farah Kartini, wanita perlu belajar seni pertahan diri — Kak Long Zara

BACA LAGI: [VIDEO] Tak sengaja cipta gol ‘epik’ ketika mengerang kesakitan, sayangnya jaringan pemain remaja liga amatur Thailand tak dikira angkara ofsaid

"Dalam kejadian itu, polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 47 tahun menyatakan terdengar daripada jiran pengadu menjerit meminta tolong ada lelaki cuba menculik anaknya pada pukul 12.40 tengah hari Selasa.

"Pengadu telah pergi ke rumah jiran dan terlihat lelaki berkenaan melarikan diri.

"Susulan itu, pengadu bersama penduduk telah mengejar lelaki tersebut dan berjaya menahannya berhampiran kawasan pembuangan sampah, kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau lagi, kejadian dipercayai berlaku di ruang tamu rumah mangsa yang didatangi suspek yang berseorangan dan memperkenalkan diri sebagai tukang cuci.

Jelas beliau, susulan itu, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu jenayah culik.

"Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan dengan menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Azammudin Mohd Razib di talian 016-5661597," katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram