HAMPIR empat bulan sudah berlalu, namun kes kematian Nur Farah Kartini Abdullah, masih lagi hangat diperkatakan sehingga kini.
Manakan tidak, mayat mangsa yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) dengan Kepujian dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak ditemukan dalam keadaan mereput selepas dibunuh di sebuah ladang kelapa sawit di Hulu Bernam, Selangor lima hari selepas dilaporkan hilang.
Susulan daripada penemuan mayat mangsa, seorang anggota polis daripada Balai Slim River, Lans Koperal Muhammad Alif Monjani didakwa atas tuduhan membunuh wanita berusia 25 tahun itu dan kes tersebut masih lagi berjalan sehingga kini.
Arwah Nur Farah dilaporkan hilang untuk lima hari selepas mayatnya ditemui di sebuah ladang kelapa sawit.
Insiden kejam itu turut memberi kesan kepada banyak pihak. Ia termasuk jurulatih silat wanita yang juga ahli Persatuan Seni Silat Panji Ria Malaysia, Zahharah Hattan.
Meskipun individu itu tiada pertalian darah dengan Farah Kartini, dia memaklum bahawa dirinya mengenali Allahyarham disebabkan anak perempuannya turut menyambung pengajian di universiti yang sama.
"Anak saya merupakan pelajar senior kepada arwah di UPSI dan saling mengenali. Saya sendiri juga pernah terserempak dengan arwah beberapa kali di sana (UPSI) ketika menghantar anak.
"Sejujurnya, bila melihat berita yang menimpa Nur Farah Kartini, saya sedih dan marah. Kenapa manusia sanggup menjadi sekejam itu? Kejadian seperti ini tidak seharusnya terjadi," katanya kepada Majoriti.
Zahharah Hattan lebih dikenali dengan nama Kak Long Zara dalam dunia seni ilmu mempertahankan diri tanah air.
Sehubungan itu, wanita yang berpengalaman selama 15 tahun dalam dunia persilatan itu menggesa agar golongan wanita untuk mempelajari ilmu mempertahankan diri.
Ujarnya, ilmu mempertahankan diri seperti silat pada ketika ini perlu dilihat sebagai satu keperluan.
"Mutakhir ini, kita sendiri sering disajikan dengan berita mengenai wanita yang kerap menjadi mangsa termasuklah keganasan rumah tangga atau diserang sehingga dibunuh pasangan adalah suatu yang mengerikan.
"Memiliki seni mempertahankan diri boleh membantu seseorang itu setidak-tidaknya melindungi diri. Tidak ada istilah lewat untuk belajar kerana saya sendiri belajar pada usia 30 tahun selepas melahirkan anak kelima," tegasnya yang lebih dikenali sebagai Kak Long Zara.
Pada masa sama, anak jati Teluk Intan, Perak itu juga menyeru kerajaan terutamanya Kementerian Pelajaran (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menerapkan subjek yang berbentuk ilmu seni mempertahankan diri.
"Saya percaya pendidikan yang berunsurkan seni mempertahankan diri harus diterapkan dalam sistem pendidikan, terutamanya untuk meningkatkan keselamatan pelajar, yang kini semakin terdedah kepada risiko di luar sana.
"Saya menyeru agar semua pihak, termasuk institusi pendidikan, memberikan ruang bagi pelajar untuk belajar seni mempertahankan diri.
"Keselamatan anak-anak harus menjadi keutamaan dan seni mempertahankan diri adalah satu cara untuk memastikan mereka mampu menjaga diri," katanya.
Kak Long Zara kini giat mengajar silat di sekitar Lembah Klang.
Tragedi Farah Kartini seharusnya menjadi panggilan untuk bertindak demi keselamatan dan kesejahteraan generasi akan datang.
Dalam situasi yang semakin mencabar ketika ini, adalah penting untuk masyarakat bersama-sama mengambil langkah proaktif demi mencipta persekitaran yang lebih selamat untuk semua pelajar.
Berdasarkan senario itu juga, Kak Long Zara bertekad meneruskan pembabitan dalam dunia persilatan dengan menjadi pengajar silat sepenuh masa.
Malah, dia juga secara peribadinya telah menempa nama di luar negara dan menerima pelbagai pingat serta penganugerahan dalam dunia persilatan.
Bercerita lanjut, Kak Long Zara berkata dia pernah dipanggil untuk mengajar ilmu persilatan di beberapa buah negara.
"Antara kenangan yang tidak boleh saya lupakan, saya pernah diberi peluang mengajar silat di Australia selama dua bulan.
"Walaupun agak mencabar namun ia adalah satu pengalaman yang menarik. saya juga bangga kerana boleh memperkenalkan silat kepada dunia luar.
"Mungkin ramai yang kurang sedar, silat ini berbeza mengikut negara," jelasnya menutup bicara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram