PENEMUAN mayat seorang lelaki warga emas di kediamannya menjawab misteri bau busuk yang menimbulkan kecurigaan di Taman Serindit, Jalan Langgar, Alor Setar, Kedah pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima makluman berkenaan kejadian pukul 4.03 petang.
Siti berkata, panggilan diterima daripada seorang individu yang juga jiran kepada lelaki tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] Ajal lepas solat Zuhur, pelajar tahfiz Sulawesi rentung sambil peluk al-Quran
BACA LAGI: Buat kecoh depan Datuk Vida, jurufoto sambilan tak mengaku salah pukul 2 pereka fesyen
Katanya, sebelum kejadian, panggilan itu dilakukan jiran mangsa yang berasa curiga selepas mendapati lelaki tersebut tidak keluar rumah sejak beberapa hari yang lalu dan terhidu bau busuk.
"Khuatir sesuatu berlaku, jirannya kemudian bertindak menghubungi pihak Polis dan Bomba untuk mendapatkan bantuan.
"Mayat mangsa berusia 68 tahun ditemui meninggal dunia dalam keadaan berbaring di atas katil di dalam bilik rumahnya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati lelaki tersebut dipercayai maut sejak beberapa hari yang lalu selepas melihat keadaan mayat yang sudah mereput.
Tambahnya, mangsa berstatus bujang dan tinggal berseorangan di rumah tersebut kebiasaannya akan keluar setiap pagi untuk membeli sarapan.
"Mangsa yang juga dikatakan gemar menyendiri dan kurang bergaul dengan kejiranan difahamkan sering menerima rawatan di hospital berdekatan disebabkan penyakit darah tinggi dan kencing manisnya.
"Siasatan lanjut pihak polis di tempat kejadian tidak mengesan sebarang unsur jenayah," katanya.
Mayat kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian sementara kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram