SEORANG bayi berusia lapan bulan cedera dan mengalami lebam di anggota badan selepas dipercayai digigit kanak-kanak lain di sebuah taska dekat Kuching, Sarawak pada Selasa lalu.
Melalui satu hantaran Facebook, Kevin Chang mendakwa, bayi tersebut merupakan anak kepada rakannya.
Dakwanya, bayi perempuan berkenaan mengalami lebam dan terdapat kesan gigitan daripada kanak-kanak lain.
Tambah Kevin lagi, mangsa dipercayai digigit oleh kanak-kanak lain yang berusia dua tahun, namun pihak taska hanya memaklumkan perkara tersebut kepada ibu bayi berkenaan tetapi tiada tindakan dilakukan.
BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara kecuaian pemandu kren, bapa 4 anak maut dilibas kabel elektrik di Bukit Mertajam
Dakwanya lagi, pemilik taska berkenaan memaklumkan pengasuh tidak menyedari kejadian tersebut kerana mangsa tidak menangis.
Susulan daripada kejadian, rata-rata warga maya mengecam tindakan pemilik dan pengasuh taska tersebut.
Malah ada yang mempertikaikan isu keselamatan di premis berkenaan memandangkan kecederaan yang dialami bayi tersebut agak serius.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz mengesahkan kejadian terbabit.
Katanya, tiga wanita, termasuk pemilik dan penjaga sebuah taska di Batu Kawa, Kuching ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes seorang bayi yang cedera dipercayai digigit.
"Laporan polis berhubung kejadian itu dibuat oleh ibu bayi terbabit pada Selasa sekitar pukul 9.30 malam.
"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya memetik laporan Utusan Borneo.
"Ada tiga (wanita) tangkapan dibuat yang melibatkan pemilik dan penjaga taska pada pukul 7 petang Rabu.
"Siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram