Tiga warga Indonesia ditahan bantu siasatan kes mayat ibu, bayi ditemui berpelukan atas rumput di Kulai


  • 112
  • Khamis, 09 Jan 2025

Mayat wanita dan bayi dipercayai baharu dilahirkan itu ditemui orang ramai yang melalui kawasan tersebut kira-kira pukul 8 pagi di tepi Jalan Impiana 5, Taman Impiana, Kelapa Sawit.

DUA lelaki dan seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kes seorang wanita warga Indonesia dan bayinya yang ditemui mati di Kulai, Johor pada Selasa.

Dalam kejadian itu, mayat wanita dan bayi dipercayai baharu dilahirkan itu ditemui orang ramai yang melalui kawasan tersebut kira-kira pukul 8 pagi di tepi Jalan Impiana 5, Taman Impiana, Kelapa Sawit.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, kesemua suspek warga Indonesia itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai pada Rabu.

BACA LAGI : Sempat buat panggilan kecemasan, mayat ibu bersama bayi masih bertali pusat ditemukan terbaring atas rumput di Kulai

BACA LAGI : [VIDEO] Baru nak santai bawa motosikal, lelaki terkejut jumpa mayat ada kesan calar di Sungai Damansara

"Ketiga-tiga suspek berusia antara 42 hingga 53 tahun itu ditahan di kawasan Kulai dan Johor Bahru dalam serbuan antara pukul 2.30 hingga 4.30 petang.

"Turut dirampas empat telefon bimbit, sebuah kereta Proton, satu tilam dan satu tikar," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tiga hari bermula Khamis bagi meneruskan siasatan bawah Seksyen 316 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan komen yang boleh mengganggu siasatan kes terbabit.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan penduduk digemparkan dengan penemuan mayat seorang wanita bersama bayi yang masih bertali pusat di kawasan itu.

Seng Lee dalam satu kenyataan berkata, tiada sebarang kecederaan luaran pada mayat wanita dan bayi itu dan ditemui satu organ dipercayai uri berhampiran tempat mayat dijumpai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram