TANPA sebarang latar belakang formal dan sokongan kewangan kukuh, pada fasa awal terlibat dalam bisnes perhotelan Suresh Armugam, menerima respons negatif daripada ramai pihak.
Selain dipandang rendah, lelaki berusia 50 tahun itu juga pernah berdepan kerenah birokrasi sehingga menyukarkannya mencapai hasrat memiliki hotel sendiri.
Malah, anak jati Teluk Intan, Perak tersebut mendakwa terdapat beberapa pihak tidak bertanggungjawab seakan-akan memintanya 'kautim' sekiranya ingin mendapat kebenaran untuk mengusahakan perniagaan hotel.
BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim
Itu antara perit-jerih dialami Suresh dalam usaha membuka hotel pertama di Nilai, Negeri Sembilan pada 2008.
Masakan tidak, ketika itu dia tidak terlibat langsung dalam dunia perniagaan. Sebaliknya, selama sedekad berkhidmat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor, bermula sebagai juruteknik pesawat pada 1998.
Kemudian, graduan kelulusan diploma bidang elektrikal dan elektronik itu tanpa mengenal erti lelah terus mendaki karier termasuk menjalani latihan peningkatan kemahiran di bawah program Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Suresh mengeluarkan modal kira-kira RM1.2 juta untuk membangunkan hotel pertama yang beroperasi di Nilai.
Dalam tempoh tersebut, Suresh mendapat idea dan mengenal pasti potensi dalam bidang perhotelan khususnya di sekitar kawasan KLIA.
"Semasa bekerja di menara kawalan, saya melihat ramai pelancong berkunjung ke Malaysia.
"Bagaimanapun, persoalan yang sering bermain dalam fikiran di mana mereka boleh menginap? walhal, ketika itu tidak banyak hotel di kawasan berhampiran.
"Bertitik tolak dari situ timbul idea mendorong saya mengusahakan hotel," kongsinya kepada Majoriti.
Biarpun tanpa pengalaman dan pendedahan formal dalam bidang perhotelan, Suresh bersama adiknya bertekad membuka hotel yang beroperasi di sebuah premis rumah kedai tiga tingkat di Nilai berbekalkan modal sendiri.
Namun, baru tiga bulan 'ingin bernafas', hotelnya disita pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana dikatakan beroperasi tanpa lesen.
Tidak cukup dengan itu, mereka turut menerima saman berjumlah RM20,000 daripada PBT.
"Waktu itu bukan sengaja tidak memohon lesen. Cuma ketika itu kami berdepan kesukaran mendapat akses panduan untuk lengkapkan proses tersebut," ujarnya.
Masih tidak mengaku kalah, sebaliknya belajar daripada kesilapan, Suresh, mengambil langkah serius termasuk mengadakan pertemuan bersama pemimpin tertinggi pentadbiran PBT ketika itu bagi mendapatkan panduan dengan lebih jelas.
Menurutnya, selain isu lesen, antara kesilapan awal dilakukan juga melibatkan isu proses membaik pulih premis terbabit untuk dijadikan hotel.
Hotel kedua milik Suresh yang terletak di Bandar Baru Salak Tinggi.
"Lazimnya, sebahagian besar pengusaha melakukan ubah suai hotel dari tingkat bawah, tetapi kami pula bermula dari aras atas.
"Apabila sudah buat kesilapan sedemikian, premis gagal disiapkan. Wang pula kehabisan untuk buat pulangan modal operasi.
"Disebabkan itu, saya dan adik terpaksa memohon pembiayaan semula rumah kami di Bandar Baru Nilai bagi mendapatkan wang menampung pembinaan hotel tersebut," ujarnya.
Suresh yang kini merupakan Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Negeri Sembilan, kemudiannya perlahan-lahan membangunkan hotel pertamanya dalam tempoh tiga tahun membaitkan modal keseluruhan sebanyak RM1.2 juta.
Kini, hotel di Nilai dikenali sebagai Sai Villa Hotel sudah beroperasi dengan jumlah bilik sebanyak 66 buah unit.
Selepas kejayaan tersebut, anak sulung daripada tiga beradik itu membuka pula Skystar Hotel, bermodalkan RM2 juta di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang Selangor dengan kapasiti 52 unit bilik.
"Banyak pengajaran dan pengalaman saya belajar selepas membuka hotel pertama.
"Kini jika tiada isu dari segi perancangan, modal dan pengurusan kewangan, saya berhasrat membina hotel tiga atau empat bintang," katanya yang memaklumkan operasi kedua-dua hotelnya disokong seramai 20 kakitangan.
Menurut Suresh, perniagaan hotel bajetnya menerima cabaran besar ekoran daripada kewujudan platform menyediakan perkhidmatan sewaan jangka masa pendek seperti AirBnB.
Cabaran bersaing dengan platform digital
Dalam pada itu, Suresh yang masih aktif dalam industri penerbangan mengakui perniagaan hotelnya turut terjejas dengan kehadiran platform penyedia sewaan tempat tinggal jangka masa pendek seperti AirBnB.
Ujarnya, purata kadar huni hotelnya kini berada di paras agak rendah iaitu sekitar 40 hingga 60 peratus.
"Ikutkan sebelum Covid-19 kita memang dah berjaya balik modal. Cumanya bila ada platform seperi AirBnB, jumlah pelanggan kita dah terpecah.
"Tapi untuk tangani isu itu, kita juga ambil beberapa inisiatif sendiri.
"Sebagai contoh, kita ketika ini juga sedang jalinkan kerjasama dengan jemaah umrah dari Indonesia untuk guna hotel kami ketika mereka transit di sini," ujarnya yang kini menetap di Seremban. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram