SEBUAH pesawat jet perniagaan Cessna CJ1+ dilaporkan terhempas ketika cuba mendarat di destinasi pelancongan popular di selatan Brazil, Lapangan Terbang Ubatuba pada pagi Khamis.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pesawat itu gagal berhenti dan meluncur laju melebihi panjang landasan ke arah jalan raya.
Hal itu menyebabkan pesawat terbakar dan terjunam ke dalam laut.
Menurut pihak berkuasa tempatan, pesawat itu membawa lima individu termasuk seorang juruterbang, sepasang suami isteri dan dua anak mereka.
Malangnya, juruterbang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala empat penumpang lain berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan.
Dalam video lain, pesawat tersebut kelihatan mendekati landasan dalam keadaan normal, dengan roda pendaratan dan flap sudah dikeluarkan seperti biasa.
Pesawat yang didaftarkan dengan nombor pendaftaran PR-GFS itu dilaporkan berlepas dari sebuah ladang di kawasan pedalaman Brazil.
Cessna CJ1+ tersebut dihasilkan oleh Textron Aviation pada 2008 dan telah dibeli oleh seorang ahli perniagaan Brazil pada tahun 2020.
Rekod Aeronautikal Brazil (RAB) mengesahkan pesawat berada dalam status kelayakan udara yang normal sebelum kejadian.
Difahamkan, pihak berkuasa masih menyiasat punca kejadian itu, sementara komuniti setempat turut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan operasi penerbangan di lapangan terbang tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram