Buat kecoh depan Datuk Vida, jurufoto sambilan tak mengaku salah pukul 2 pereka fesyen


Tangkap layar video memaparkan situasi ketika duo pereka fesyen itu diserang dalam satu majlis pada Rabu.

SEORANG jurugambar sambilan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua pereka fesyen di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.

Memetik laporan Buletin TV3, tertuduh, Muhammad Imran Khairil, 30, yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya didakwa sengaja mencederakan Azmi Abdul Rahman dan Raziman Din menggunakan kamera sebagai senjata.

Tertuduh juga didakwa atas kedua-dua pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Polis tahan jurugambar pukul 2 pereka pakaian depan Datuk Vida

BACA LAGI: [VIDEO] Ajal lepas solat Zuhur, pelajar tahfiz Sulawesi rentung sambil peluk al-Quran

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husna Amran, mencadangkan jaminan RM8,000 bagi setiap pertuduhan.

Majistret Farah Azura Mohd Saad bagaimanapun menetapkan jaminan sebanyak RM3,500 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan melarang tertuduh mendekati atau mengganggu mangsa.

Manakala, sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Februari depan.

Terdahulu, kejadian itu berlaku ketika mangsa masing-masing sedang mengiringi usahawan terkenal, Datuk Seri Vida dalam majlis tersebut.

Kedua-dua mangsa juga dilaporkan mengenali suspek dan mengakui mempunyai hutang berjumlah RM20,000 berkaitan penjualan kereta dilakukan sekitar 2019.

Difahamkan, ia berkemungkinan menjadi punca mereka diserang secara tiba-tiba. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram