BERMULA sebagai penjual nasi kukus di tepi jalan, Siti Nurhidayah Muzaidi, 27 tahun kini berjaya menjadi seorang usahawan makanan home based tanpa perlu menyewa tapak gerai.
Dengan kegigihan dan minat mendalam terhadap masakan, perjalanan bisnesnya membuktikan bahawa keazaman dan usaha berterusan mampu membawa kejayaan.
Dia yang mesra disapa Hidayah itu memulakan bisnes pada tahun 2001 dengan membuka gerai kecil menjual nasi kukus di tepi jalan.
Difahamkan potato loadednya sama rasa seperti jenama terkenal KFC.
“Masa tu saya baru habis belajar dan bekerja sebagai cikgu tadika.
"Tapi lepas ayah saya sakit jantung, saya berhenti kerja dan mula berniaga untuk membantu keluarga,” katanya kepada Majoriti.
Tambah Hidayah, modal perniagaan Nasi Kukus pada ketika itu diberikan oleh ayahnya sebagai sokongan dalam berjinak-jinak dengan jualannya.
Namun, perniagaan awalnya itu tidak berjalan lancar dan terpaksa tutup gara-gara tidak dapat menghasilkan keuntungan.
Ekoran peristiwa itu, dia memutuskan untuk memindahkan operasi perniagaannya ke rumah dan memfokuskan kepada tempahan makanan seperti nasi kukus, laksa, soto dan bubur nasi berlauk.
Peralihan perniagaan ke home based ternyata memberikan nafas baharu kepada bisnesnya.
Hidayah kini terkenal di kalangan penduduk Sekinchan dengan menu western terkininya potato loaded, Swedish meatball dan garlic bread yang mendapat sambutan hangat di kawasan itu malah mendapat sambutan dari pengunjung luar.
“Potato loaded saya ni memang unik sebab rasa dia macam KFC.
"Ini antara feedback yang saya dapat daripada para pelanggan.
"Ramai pelanggan suka sampaikan ada yang tersalah beli sebab ingatkan itu produk saya,” tambahnya sambil ketawa kecil.
Lokasi vendor bagi jualan potato loaded di 'port tapaw'.
Difahamkan dia yang membuka perniagaannya itu atas nama Hidayah Kitchen turut mempromosikan produknya di beberapa vendor misalnya di 'port tapaw'.
Hidayah juga memanfaatkan platform TikTok untuk mempromosikan bisnesnya yang secara tidak langsung menarik perhatian pelanggan dari luar Sekinchan.
"Saya suka hasilkan video berkongsi resepi makanan dan sebagainya, jadi banyak dapat tempahan dari orang luar yang datang ke Sekinchan.
"Ada juga pelanggan yang datang Sekinchan menginap di hosmestay berdekatan dan mereka rata-rata menemui jualan saya disebabkan video-video dikongsi di TikTok," kongsinya.
Dengan permintaan tinggi untuk tempahan majlis keluarga dan acara kecil-kecilan, Hidayah kini mampu menjual sehingga 30 hingga 50 bekas makanan sehari dengan pendapatan harian sekitar RM200 hingga RM300.
Walaupun begitu, perjalanan Hidayah tidaklah mudah untuk sampai ke tahap ini yang masih berusaha keras memasarkan produk makanannya kepada ramai.
Cabaran utama adalah untuk menarik pelanggan dan memastikan rasa masakannya konsisten.
Hidayah turut menyajikan pelbagai menu lain seperti mee goreng untuk tempahan luar bagi apa-apa majlis.
“Kadang-kadang ada yang cakap rasa makanan tak sedap atau ayam tak masak.
"Saya jadikan semua komen itu sebagai pembakar semangat untuk terus perbaiki perniagaan saya,” katanya.
Hidayah juga menjadikan tokoh usahawan seperti Asimah Adinan, seorang peniaga home based terkenal sebagai sumber inspirasi.
“Walaupun tak ada kedai, kita masih boleh berjaya kalau ada usaha,” katanya penuh semangat.
Ketika ditanya mengenai perancangannya, dia bercadang untuk memperkenalkan menu baharu dalam masa terdekat dan terus mempelbagaikan penawarannya.
“Perniagaan ini bukan mudah tapi kalau kita tak mudah putus asa, insya-ALLAH rezeki tu ada,” katanya dengan yakin.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram