SIAPA sangka sebuah bisnes kecil yang bermula dari rumah kini semakin popular dan dikenali ramai setelah tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai.
Noor Fatimah Khalid, 34, atau lebih dikenali dengan nama Fatimah kini berjaya mencipta rasa unik nachos buatan sendiri (homemade) menerusi resipi daging berempah dan ayam barbeku.
Fatimah yang berasal dari Kedah itu difahamkan sudah lama berkecimpung dalam dunia perniagaan makanan.
Keunikan loaded nachos adalah menggunakan ramuan daging berempah dan ayam BBQ sebagai pilihan utama.
Menurutnya, dia yang memiliki lulusan bidang kulinari itu sudah pun menjual nachos kira-kira empat tahun lalu berhenti seketika dan kembali menjual semula sejak tular dan menjadi trend kebelakangan ini.
Bermula sejak 2016, dia pernah membuka gerai makanan western dengan menu terkenalnya lasagna, namun bisnes itu tidak bertahan lama terutama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Namun, Fatimah tidak pernah berputus dengan membuka kembali perniagaannya selepas merasakan bisnes sebagai minat utamanya.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, bisnes nachosnya mula mendapat perhatian ramai apabila dia mengambil keputusan untuk menjual nachos daging berempah dan ayam BBQ sebagai pilihan utama.
Keistimewaan nachos yang dijualnya terletak pada bahan-bahan yang digunakan iaitu daging yang dimasak dengan rempah khas berbeza dengan kebanyakan nachos yang hanya menggunakan daging kering atau tanpa rasa.
"Nachos resipi saya ada kelainan yang mana dimasak menggunakan daging dengan rempah bolognese yang memberi rasa yang lebih menyeluruh.
"Selain itu, kelainan salsa yang kami buat juga menggunakan limau dan rempah yang memberi sentuhan lebih segar dan berbeza," katanya kepada Majoriti.
Difahamkan, rata-rata komen di media sosial memuji hidangan menarik itu yang disamakan dengan resipi antarabangsa dan nampak lebih menyelerakan berbanding lain.
Pelanggan juga boleh memilih untuk menambah ramuan seperti daging mahupun salsa tanpa caj tambahan atau campuran daging dan ayam pada harga RM15 sahaja.
Keberanian Fatimah untuk bereksperimen dengan resipi sendiri ternyata membuahkan hasil apabila pelanggan mula memberi maklum balas positif mengenai keunikan rasa dan saiz hidangan yang besar.
Tidak hanya itu, pelanggan juga berpuas hati dengan harga yang sangat berpatutan yang dijual satu bekas nachos berharga RM12 dengan pilihan daging atau ayam.
Pelanggan juga boleh memilih untuk menambah ramuan seperti daging mahupun salsa tanpa caj tambahan, atau mencampurkan daging dan ayam pada harga RM15 sahaja.
Pernah menghadapi kesukaran dalam perniagaannya terutama semasa fasa PKP, Fatimah mengakui bahawa sokongan daripada suami dan keluarga merupakan faktor penting dalam memastikan kelangsungan bisnes yang dijalankannya.
"Pernah masa jualan menurun, saya hampir putus asa.
"Tetapi sokongan suami dan kepercayaan pelanggan membuatkan saya teruskan.
"Rezeki ALLAH datang tiba-tiba dan perniagaan nachos saya kini mendapat permintaan yang tinggi," luahnya penuh kesyukuran.
Lokasi loaded nachos terletak di Ambangan Height, Sungai Petani, Kedah dan beroperasi setiap hari kecuali Isnin dan Selasa.
Fatimah juga tidak menyangka video TikTok yang dimuat naik mengenai nachosnya yang viral mendapat perhatian dari seluruh Malaysia termasuk pelanggan dari luar negeri Kedah seperti Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang.
"Pada musim cuti sekolah, ramai yang datang dari luar Kedah kerana balik kampung dan mencari makanan viral," katanya.
Dia kini bagaimanapun aktif mempromosikan produk jualannya melalui TikTok Dapoq Piya dan mendapat sokongan daripada blogger makanan terkenal yang turut membantu mempromosikan perniagaannya.
Menyentuh soal perkembangan bisnesnya, Fatimah kini membuka perniagaan itu dengan konsep kanopi yang terletak di tepi jalan di Ambangan Height, Sungai Petani, Kedah dan beroperasi setiap hari kecuali Isnin dan Selasa.
Dengan meraih pendapatan jualan yang mencecah RM2,000 dalam sehari, dia mengakui bisnes nachos yang diusahakannya itu kini semakin berkembang.
"Alhamdulillah, saya dapat jual dalam beratus bekas sehari.
"Keuntungan boleh mencecah RM2,000 dan saya berpuas hati sebab dapat beri lebih kepada pelanggan.
"Harga murah dengan portion banyak," ujar Fatimah yang bersyukur kerana dapat terus berkembang meskipun beroperasi di kawasan yang agak terpencil.
Fatimah juga mendedahkan bahawa selain menjual nachos, dia baru-baru ini memperkenalkan menu baru iaitu mac and cheese yang mendapat sambutan hangat.
Selain terkenal dengan loaded nachos, Fatimah juga turut memperkenalkan menu baru iaitu mac and cheese.
Dengan topping bebola daging barbeku, ia menjadi pelengkap yang sempurna untuk pelanggan yang menginginkan lebih variasi.
"Selain nachos, saya juga ada buat makaroni dan keju (mac and cheese).
"Rasa sangat berbeza kerana kita gunakan keju mozzarella dan topping bebola daging barbeku. Semua ini saya buat sendiri," tambahnya lagi.
Dengan pengalaman selama sembilan tahun dalam perniagaan makanan, Fatimah berharap bisnesnya dapat berkembang lebih jauh lagi.
Walaupun mengalami pasang surut, dia bertekad untuk terus maju dengan hasrat untuk memperluaskan lagi pilihan menu dan meningkatkan kualiti servis.
"Saya mahu perniagaan ini memberi impak yang besar.
"Bisnes ini bukan sekadar jualan tapi untuk memberi kegembiraan kepada pelanggan melalui makanan yang sedap," jelasnya dengan penuh harapan.
Kongsinya lagi, sejak bisnes itu mula melonjak, Fatimah tidak melepaskan peluang keemasan untuk menyertai beberapa festival makanan termasuk Lapar Food Fest dan Pesta Laksa di Jalan Besar, Kedah.
Menurutnya, penyertaan dalam acara-acara sebegitu membantu meningkatkan lagi pengenalan jenama loaded nachos kepada pelanggan yang lebih luas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram