KEBERANIAN dan ketabahan seorang ibu yang menghadapi cabaran besar dalam membesarkan dua anak istimewa sewajarnya menjadi inspirasi kepada orang ramai.
Efazana Rasul, pernah diselubungi rasa tertekan dan kecewa, kini bangkit membuktikan bahawa dengan kasih sayang, usaha keras dan semangat yang tidak pernah luntur boleh menempuh segala hal mustahil dalam memberi yang terbaik buat anak-anaknya.
Lebih mesra disapa Efazana, usahawan berusia 45 tahun itu mengakui dia pernah menyalahkan diri sendiri selepas dua anaknya dilahirkan tidak sempurna seperti anaknya yang lain.
Kedua-dua anaknya itu menghidapi masalah mikrosefali apabila keadaan kepala seseorang individu adalah lebih kecil dan kurang berkembang.
"Saya tidak dapat menerima keadaan anak saya dan pernah berada dalam situasi kemurungan dan sangat kecewa dengan diri saya," kenang Efazana.
Dia yang memiliki empat cahaya mata itu pada mulanya sudah pun menerima keadaan anak ketiganya, Muhammad Haziq yang dilahirkan tidak sempurna.
Bagaimanapun takdir menentukan sebaliknya apabila Efazana yang tiga tahun kemudiannya hamil dan dikurniakan anak keempat perempuan yang turut dilahirkan dengan masalah yang sama.
Kedua-dua anaknya itu menghidapi masalah mikrosefali iaitu keadaan kepala seseorang individu adalah lebih kecil dan kurang berkembang.
"Pada waktu itu, saya rasa seperti ada seseorang yang menekan saya ke dinding dan memukul wajah saya tanpa henti," kata Efazana.
Pada mulanya dia berasakan semuanya berjalan lancar tetapi bayi dalam kandungannya berhenti bergerak ketika dia sudah memasuki bulan kelima.
"Saya diberitahu bahawa anak keempat saya juga mungkin dilahirkan dengan mikrosefali dan diberi amaran bahawa perkembangan keseluruhannya mungkin lebih teruk berbanding anak lelaki saya," tambahnya.
Namun begitu, anak perempuannya, Farzana Husna yang kini berusia sembilan tahun lebih cepat belajar berbanding abangnya dan sudah mula bercakap sedikit.
"Haziq hanya boleh menyebut perkataan tetapi Husna sudah boleh menyusun ayat untuk meluahkan perasaannya," kata Efazana yang kini tinggal di Port Klang bersama keluarganya.
Dia dalam pada itu turut berkongsi perkembangan anak sulungnya, Rabiatul Adawiyah, 21, yang sedang melanjutkan pengajian di universiti sementara anak keduanya pula, Muhammad Muzaffar, 17, kini bersekolah di tingkatan lima.
Difahamkan anak sulung dan keduanya dilahirkan dengan baik dan tidak mempunyai sebarang komplikasi.
Kebimbangan utama mereka adalah bagaimana untuk mendapatkan dana mencukupi bagi memberikan anak-anak istimewa mereka penjagaan terbaik.
Berkongsi lanjut mengenai kisah hidupnya, Efazana dan suaminya, Apindi Yusuf, 51, seorang peniaga pasar malam yang menjual tudung dan aksesori wanita itu memutuskan untuk tidak terus berasa kecewa atas kelahiran Farzana Husna.
Mereka sedar bahawa meratapi nasib tidak akan membawa mereka ke mana-mana.
Kata Efazana, kebimbangan utama mereka adalah bagaimana untuk mendapatkan dana yang mencukupi bagi memberikan anak-anak istimewa mereka penjagaan terbaik.
"Jadi, setahun selepas kelahiran anak perempuan saya, saya menjadi usahawan digital dan mula memasarkan jenama kosmetik yang saya kongsi milik untuk menambah pendapatan keluarga," katanya.
Dengan dana yang mencukupi, Efazana berkata, dia dan suaminya dapat memastikan kedua-dua anak istimewa mereka mendapat segala yang mereka perlukan dan inginkan serta menjalani kehidupan yang bahagia dan aktif.
Mengenai pandangan dan kritikan yang diterimanya ketika bersama kedua-dua anaknya, Efazana berkata, dia sudah belajar untuk reda dan menerima hakikat bagi meneruskan kehidupan.
"Mereka adalah anak-anak saya dan saya mencintai mereka.
"Saya bahagia melihat mereka gembira walaupun mereka adalah anak istimewa," katanya.
Kedua-dua anak istimewanya itu, Muhammad Haziq dan Farzana Husna kini mendapatkan pelajaran khas di SMK Taman Gembira, Klang, Selangor. — The Star/WANI MUTHIAH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram