ISU berkaitan dengan hukum solat jamak dan qasar ketika seseorang itu berpindah ke tempat baharu atau kembali ke kampung halaman sering menjadi persoalan dalam kalangan masyarakat terutama bagi mereka yang bekerja atau melanjutkan pengajian di tempat jauh dari tempat asal.
Namun terdapat beberapa situasi utama yang mempengaruhi kelayakan seseorang untuk melakukan solat jamak dan qasar apabila kembali ke kampung halaman.
Pendakwah bebas, Ustaz Jafri Abu Bakar Al Mahmoodi tampil memperjelas bahawa solat jamak dan qasar adalah dua bentuk kelonggaran yang diberikan dalam Islam kepada orang yang sedang dalam perjalanan jauh (musafir).
BACA LAGI: Nazar jalan kaki ke Makkah boleh jatuh hukum berdosa jika mudaratkan diri, orang lain
BACA LAGI: Hukuman sebat bukan sekadar peringatan, didik masyarakat bendung mukadimah zina — Pakar agama
Menurutnya, solat jamak membolehkan seseorang menggabungkan dua solat fardu (seperti Zuhur dan Asar) dalam satu waktu manakala solat qasar membolehkan seseorang memendekkan bilangan rakaat solat fardu (contohnya solat Zuhur menjadi dua rakaat bukannya empat).
Jelasnya, kelonggaran itu diberikan kepada mereka yang sedang melakukan perjalanan lebih dua marhalah atau kira-kira 80 hingga 90 kilometer (bergantung kepada fatwa negeri) dan hanya untuk perjalanan yang dibenarkan dalam Islam misalnya bukan perjalanan yang maksiat atau menuju tempat yang dilarang.
Beliau mengulas lanjut perkara yang tidak membolehkan individu melakukan solat jamak dan qasar walaupun melakukan perjalanan lebih dua marhalah.
Situasi itu melibatkan individu yang berpindah ke tempat baharu dengan niat untuk menetap di sana secara tetap.
"Ini mungkin berlaku apabila seseorang itu mendapat pekerjaan atau berkahwin dan membeli rumah di tempat yang baru serta berazam untuk menjadikan tempat tersebut sebagai tempat tinggal tetap (watan mustaqar).
"Dalam keadaan ini, kampung halaman asalnya sudah tidak lagi dianggap sebagai tempat tinggal utama walaupun dia masih kadangkala kembali untuk melawat keluarga," jelasnya menerusi hantaran dimuat naik di Tiktok.
Kelonggaran mengerjakan jamak dan qasar bagi mereka yang melakukan perjalanan lebih dua marhalah atau kira-kira 80 hingga 90 kilometer (bergantung kepada fatwa negeri) dan hanya untuk perjalanan yang dibenarkan dalam Islam. — Gambar hiasan
Ustaz Jafri Abu Bakar berkata, bagi individu yang berpindah ke tempat baharu dengan niat menetap secara tetap maka rumah asalnya yang terletak di kampung halaman itu tidak lagi dianggap sebagai tempat tinggal utama.
"Oleh itu, apabila dia kembali ke kampung halaman untuk ziarah atau urusan lain perjalanannya boleh dianggap sebagai musafir.
"Dalam keadaan ini, dia boleh melakukan solat jamak dan qasar kerana perjalanan antara dua tempat (tempat baharu dan kampung halaman) telah melebihi dua marhalah dan dia kini berada dalam status musafir ketika pulang ke kampung halaman.
"Seorang individu yang bekerja di ibu kota, membeli rumah, berkahwin dan mempunyai anak di sana.
"Kampung halaman asalnya di luar bandar kini hanya menjadi tempat untuk ziarah keluarga.
"Ketika dia kembali ke kampung halaman, perjalanan tersebut boleh dianggap sebagai perjalanan musafir dan dia layak untuk melakukan solat jamak dan kasar," katanya.
Ustaz Jafri Abu Bakar bagaimanapun menjelaskan situasi lain iaitu berpindah sementara untuk tujuan tertentu dengan berazam tinggal secara tetap.
Solat jamak dan qasar adalah dua bentuk kelonggaran yang diberikan kepada orang yang sedang dalam perjalanan jauh (musafir). — Gambar hiasan
Sebaliknya, jika seseorang berpindah ke tempat baharu untuk tujuan sementara seperti bekerja atau belajar dengan niat dan azam untuk kembali ke kampung halaman pada suatu masa nanti, maka statusnya berbeza.
Walaupun dia mungkin tinggal di tempat baharu itu selama beberapa tahun atau beberapa bulan, niatnya untuk kembali ke tempat asal menyebabkan dia masih dianggap sebagai orang yang belum menetap secara tetap di tempat baharu, jelas beliau.
Beliau mengulas lanjut dalam situasi itu, ketika individu kembali ke kampung halaman seseorang itu tidak dianggap sebagai musafir.
Jadi, katanya, dia tidak layak untuk melakukan solat jamak dan qasar walaupun perjalanan antara tempat tinggal sementara dan kampung halaman melebihi dua marhalah.
"Contohnya, seorang pelajar atau pekerja yang belajar atau bekerja di luar negara dengan niat untuk kembali ke kampung halaman selepas tamat pengajian atau tugas tetap dianggap menetap di kampung halaman.
"Oleh itu, ketika pulang ke kampung dia tidak boleh melakukan solat jamak dan qasar," tambahnya lagi.
Dapat disimpulkan, jika seseorang berpindah secara tetap ke tempat baharu dan tidak berniat untuk kembali menetap di kampung halaman kecuali untuk ziarah, kampung halaman tidak lagi dianggap sebagai tempat asal dan individu boleh melakukan solat jamak dan qasar.
Sebaliknya, jika perpindahan itu sementara dengan niat untuk kembali ke kampung suatu hari nanti, dia tidak layak melakukan solat jamak dan qasar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram