ISU mengenai wuduk bagi anggota yang berbalut akibat kecederaan atau luka sering kali menjadi persoalan dalam kalangan umat Islam terutama apabila seseorang itu tidak dapat membasuh anggota tubuh kerana ia dibalut atau ditutup.
Dalam situasi itu, terdapat beberapa pandangan daripada ulama fiqh mengenai cara yang betul untuk melaksanakan wuduk dan solat.
Berdasarkan perkongsian oleh pendakwah bebas, Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil menjelaskan terdapat para ulama dari pelbagai mazhab mempunyai pandangan yang berbeza.
BACA LAGI: Hukuman sebat bukan sekadar peringatan, didik masyarakat bendung mukadimah zina — Pakar agama
BACA LAGI: Hukuman sebat bukan sekadar peringatan, didik masyarakat bendung mukadimah zina — Pakar agama
Berwuduk merupakan syarat sah bagi mendirikan solat.
Menurutnya, masalah wuduk bagi anggota yang berbalut disebabkan luka atau keuzuran adalah topik yang mempunyai khilaf (perbezaan pendapat) antara para ulama.
Hal itu katanya, beberapa mazhab fiqh utama memberikan pandangan yang berbeza tentang bagaimana seseorang yang mempunyai anggota yang berbalut seharusnya bersuci.
Jelasnya, menurut mazhab Syafi'ie dan mazhab Hanbali, jika seseorang mempunyai anggota yang berbalut dan tidak boleh mencabutnya atau membasuhnya dengan air, maka wajib menyapu air ke atas balutan tersebut semasa berwuduk.
Beliau berkata, dalam hal sedemikian balutan akan menggantikan pembasuhan langsung pada anggota yang cedera.
Namun, selain menyapu balutan seseorang itu juga wajib melakukan tayammum sebagai pengganti bagi pembasuhan anggota tersebut.
Dr. Syed Shahridzan mengulas lanjut, bagi mazhab Syafi'ie terdapat beberapa keadaan di mana solat perlu diqada (diulang) berkaitan dengan penggunaan balutan:
- Jika balutan itu diletakkan dalam keadaan tidak bersuci (tidak berwuduk).
- Jika balutan itu digunakan lebih daripada sekadar untuk menampal bahagian luka atau cedera.
- Jika balutan digunakan pada anggota yang sepatutnya dilakukan tayammum seperti muka atau tangan walaupun sudah berwuduk.
Namun, jelasnya terdapat pendapat lain dalam mazhab Syafi'ie menyatakan bahawa jika balutan itu dipakai dengan betul dan tidak melebihi kadar yang sepatutnya maka solat tidak perlu diqada.
"Menurut mazhab Hanbali dan pendapat pilihan Imam Nawawi, solat tidak perlu diqada dalam situasi yang melibatkan anggota berbalut walaupun dalam kes-kes tertentu.
"Ini bermakna jika seseorang menyapu air pada balutan dan melakukan tayammum dengan cara yang betul maka solat yang telah dilakukan tetap sah dan tidak perlu diulang," kongsinya.
Mazhab Hanafi dan mazhab Maliki mempunyai pandangan bahawa adalah tidak perlu melakukan tayammum untuk anggota yang berbalut.
Dr. Syed Shahridzan menekankan bahawa mazhab Hanafi dan mazhab Maliki pandangan yang diberikan adalah lebih mudah.
"Mereka berpendapat bahawa tidak perlu melakukan tayammum untuk anggota yang berbalut.
"Cukup dengan menyapu air pada balutan tanpa perlu melakukan tayammum.
"Selain itu, solat tidak perlu diqada dalam keadaan seperti ini," tambahnya.
Dr. Syed Shahridzan bagaimanapun berkata, pandangan mengenai wuduk bagi anggota yang berbalut itu juga disokong oleh hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidina Jabir bin Abdullah RA.
Kongsinya, hadis berkenaan menceritakan tentang seorang sahabat yang cedera di kepala dan mengalami masalah untuk mandi junub.
Rasulullah SAW menyarankan agar dia bertayammum dan menyapu balutan pada lukanya daripada memaksa dirinya untuk mandi junub secara keseluruhan.
Beliau mengulas, hadis tersebut dijadikan hujah oleh mazhab Syafi'ie dan Hanbali untuk menunjukkan bahawa menyapu air pada balutan adalah cara yang sah dalam keadaan tertentu.
Dr. Syed Shahridzan menyatakan mazhab Hanafi dan mazhab Maliki menganggap bahawa dua jenis ibadah bersuci (wuduk dan tayammum) tidak boleh dilakukan dalam satu masa.
Oleh itu, ulama hanya menggalakkan untuk menyapu air pada balutan dan tidak mengharuskan tayammum.
Tegasnya, kedua-dua mazhab ini juga menganggap hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah RA sebagai daif walaupun sebahagian ulama menganggapnya sebagai hasan (baik) atau sahih.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram