BARU-BARU ini tular sebuah video memaparkan seorang individu yang difahamkan memasang niat bernazar untuk berjalan kaki ke Makkah menimbulkan kegusaran ramai kerana dilihat membahayakan keselamatan ramai.
Difahamkan orang ramai turut meraikan tindakan individu itu sehinggakan jalan menjadi sesak dan boleh mengancam keselamatan awam.
Menjadi persoalan tentang perkara itu, timbul perdebatan ramai mengenai adakah nazar sebegitu dibolehkan jika ia boleh mendatangkan risiko kepada diri sendiri atau orang lain?
BACA LAGI: Hukuman sebat bukan sekadar peringatan, didik masyarakat bendung mukadimah zina — Pakar agama
Dr Mohd Izhar Ariff berkata, nazar itu memudaratkan atau tidak ia sebenarnya bergantung kepada niat dan keadaan individu tersebut.
Tampil mengulas lanjut, Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, nazar itu adalah memudaratkan sekiranya diri sendiri terasa beban akan perkara berkenaan.
"Apakah nazar itu memudaratkan atau tidak ia sebenarnya bergantung kepada niat dan keadaan individu tersebut.
"Maka sekiranya seseorang itu hendak juga melaksanakan nazar itu maka harus hukumnya atas diri sendiri.
"Bahkan individu itu harus mempertimbangkan dengan teliti kerana jika ia membahayakan diri sendiri atau orang lain tindakan tersebut boleh dianggap berdosa," katanya kepada Majoriti.
Beliau yang juga Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu berkata, dalam situasi lain apabila nazar berisiko mendatangkan mudarat atau membahayakan diri sendiri serta orang lain, Islam memberikan ruang untuk memilih penyelesaian alternatif yang lebih selamat dan tidak membebankan.
"Salah satu kaedah yang boleh digunakan adalah kafarah atau penutup dosa (kesalahan).
"Jika melaksanakan nazar boleh membahayakan diri atau orang lain, Islam membenarkan penggunaan kafarah sebagai ganti.
"Kafarah adalah penebusan bagi menggantikan pelaksanaan nazar yang tidak dapat dilakukan seperti memberi sedekah, memberi makan kepada orang miskin atau berpuasa," jelasnya.
Dapat dilihat keadah itu membolehkan seseorang menunaikan nazar tanpa menyebabkan mudarat dengan mengutamakan keselamatan diri dan orang lain.
Dalam pada itu, menerusi penulisan di Facebook oleh Muneeb Musoddaq, seorang pelajar Universiti Islam Madinah, dia berkongsikan sebuah kisah daripada zaman Rasulullah SAW apabila terdapat seorang wanita bernazar untuk berjalan kaki ke Baitullah al-Haram, lalu Nabi Muhammad SAW bersabda, "ALLAH tidak memerlukan dia berjalan kaki, suruhlah dia menaiki kenderaan."
Tulisnya, begitu juga dengan seorang lelaki yang bernazar untuk berjalan kaki menunaikan haji, Nabi SAW menasihatkan agar dia menaiki kenderaan dan tidak menyeksa diri.
Menurut Muneeb, dalam riwayat lain, Nabi Muhammad SAW menyarankan agar wanita yang bernazar berjalan kaki ke Makkah menaiki kenderaan dan membayar karafah.
Kongsinya, Ibnu Abbas pula menceritakan bahawa penduduk Yaman yang mengerjakan haji tanpa bekal dikritik oleh ALLAH menyuruh mereka berbekal kerana bekal yang terbaik adalah takwa.
Kesimpulannya, walaupun tidak salah jika seseorang mampu berjalan kaki, namun jika ia menyusahkan atau membahayakan diri adalah lebih baik memilih cara yang lebih mudah.
Ibadah adalah suatu yang bersandarkan ilmu bukan sekadar mengikuti trend, kata Muneeb. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram