[VIDEO] 'Macam ambil lesen tapi bukan', Zaharuddin tubuh kelas 'Road Survival Skills' lepas kehilangan rakan terdekat akibat kemalangan


  • Bizz
  • Sabtu, 04 Jan 2025

Zaharuddin yang pada mulanya menubuhkan perniagaan itu bijak memanfaatkan kemahiran dan pengalamannya dalam industri automotif.

KEHILANGAN keluarga atau kenalan terdekat akibat kemalangan memang satu dugaan yang sukar untuk ditelan pahitnya.

Apatah lagi jika kemalangan itu bukan disebabkan kecuaian sendiri, malah ia berpunca akibat masalah teknikal kenderaan yang dinaiki atau boleh dielakkan seandainya memiliki kemahiran tertentu.

Itu yang pernah dilalui Zaharuddin Zainuddin apabila beliau pernah kehilangan beberapa rakan terdekat akibat kemalangan jalan raya sehingga membuatkan dirinya tampil dengan idea untuk melindungi insan tersayang.

BACA LAGI: [VIDEO] Melawan hukum alam berniaga Nasi Lemak Kangkung RM2 'portion' menimbun, Zila pernah kena 'sapu' PBT tapi kini sudah miliki kedai sendiri

BACA LAGI: 'Peribadi rendah diri Sultan Ibrahim buat kami tenang', pemilik generasi ke-3 restoran asam pedas Lee besar hati kerabat diraja jadi pelanggan setia

Image 02-01-2025 at 10.59 PM

Bahagian kedua praktikal yang mana peserta menjalani latihan jalan raya sebenar untuk membuat pemerhatian.

Malah siapa sangka, ideanya untuk mewujudkan kelas Road Survival Skills (kemahiran keselamatan jalan raya) mendapat sambutan menggalakkan sehingga dia boleh mengembangkan bisnes dalam bidang automotif dengan menubuhkan syarikat alat ganti motosikal dan juga kereta, ZZ Powersports Services.

Bermula dari kelas pemanduan itu, Zaharuddin boleh berbangga dengan pencapaian syarikat yang kini sudah berkembang dan semakin dikenali dalam kalangan syarikat-syarikat besar, berkat sokongan rakan-rakan dan hubungan yang kukuh dalam sektor automotif.

Mengimbas kembali perjalanan bisnesnya itu, Zaharuddin berkata, selepas kehilangan rakan terdekat akibat kemalangan, dia memulakan kelas kemahiran tersebut pada 2013.

"Pada waktu itu, ZZ Powersports Services belum wujud, saya masih bergerak secara bebas dan mengadakan kursus kepada mereka yang mengambil perkhidmatan ini.

"Kursus ini adalah secara fizikal dan bukan dalam talian kerana ia melibatkan teori dan praktikal yang memerlukan interaksi langsung.

"Sejak 2013, saya telah menjalankan lebih daripada 20 sesi kursus belum termasuk individu-individu yang saya latih secara peribadi," katanya kepada Majoriti.

Zaharuddin yang semangat berkongsi pengalaman itu berkata, syarikatnya kini mula menawarkan latihan pemanduan selamat (defensive driving) bagi memfokuskan latihan keselamatan jalan raya termasuklah kursus motosikal Road Survival Skills.

"Saya bekerjasama dengan syarikat-syarikat besar terutamanya dalam sektor minyak dan gas yang sangat menekankan aspek keselamatan.

"Jadi, semua pekerja mereka perlu menjalani latihan pemanduan pertahanan. Saya juga terlibat dengan beberapa syarikat farmaseutikal.

"Latihan ini berterusan kerana saya merupakan pengajar bebas dan boleh dilantik oleh syarikat-syarikat lain juga," katanya.

Berkongsi mengenai operasi latihan, dia menjelaskan bagi kursus motosikal sesi pertama dimulakan dengan teori di dalam bilik darjah yang merangkumi topik-topik penting seperti keselamatan penunggang, peralatan pelindung, cara duduk yang betul serta penyesuaian motosikal.

Selepas itu, peserta akan diajar kemahiran keselamatan yang penting untuk memastikan mereka selamat di jalan raya.

"Bahagian pertama kami akan lakukan di kawasan lapang seperti tempat parkir. Saya akan sediakan laluan latihan (trial course) yang meliputi slalom, pusingan U, mengelak halangan serta ujian brek kecemasan untuk mengaktifkan ABS.

"Ramai peserta yang tidak pernah merasa ABS sebelum ini kerana di jalan raya tidak ada kesempatan untuk mencuba.

"Bahagian kedua praktikal, kami akan bawa peserta ke jalan raya sebenar untuk membuat pemerhatian.

"Saya akan lihat cara mereka mengendalikan motosikal sama ada mereka memberi isyarat dengan betul, mengawal brek dengan tepat serta mematuhi peraturan jalan raya.

"Saya juga akan memerhatikan sikap mereka di jalan raya sama ada peka dengan keadaan sekeliling dan bertindak dengan bijak semasa berhadapan dengan situasi kecemasan.

Image 02-01-2025 at 11.00 PM

Latihan pemanduan defensif lebih banyak diambil oleh syarikat-syarikat yang menyedari pentingnya keselamatan jalan raya.

"Banyak rider yang datang ke kelas ini sebenarnya mempunyai tabiat buruk atau tidak sedar mereka telah melakukan kesalahan di jalan raya kerana tiada yang memantau mereka.

"Contohnya, mereka tidak mengikut undang-undang trafik seperti melanggar lampu merah, tidak memberi isyarat dengan betul atau melanggar peraturan di simpang dan roundabout.

"Begitu juga dalam latihan pemanduan defensif, selepas sesi teori kami akan lakukan sesi praktikal di lapangan.

"Saya akan beri perhatian kepada kesalahan seperti cara memegang stereng, memberi isyarat, teknik memotong dan banyak lagi aspek pemanduan yang perlu diperbetulkan," katanya.

Menurut Zaharuddin, lokasi untuk latihan teori bergantung kepada permintaan klien sama ada dijalankan di pejabat syarikat atau di ZZ Powersports Services.

"Sesi praktikal biasanya diadakan di tempat letak kereta yang luas pada hujung minggu bagi memastikan tiada gangguan lalu lintas, sekali gus memberi peluang kepada peserta untuk mengasah kemahiran dalam persekitaran yang selamat dan bebas gangguan," katanya.

Tarik minat syarikat besar

Zaharuddin berkata, banyak syarikat dalam sektor minyak dan gas sudah mula menyedari kepentingan latihan keselamatan jalan raya sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard mereka.

Jelasnya, syarikat yang mempunyai lebih daripada lima pekerja diwajibkan menyumbang 1 peratus daripada gaji pekerja ke dalam Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) yang boleh digunakan untuk pelbagai jenis latihan termasuk defensive driving.

"Bagi mereka yang ingin mengikuti kursus tersebut, syarat utama adalah memiliki lesen memandu yang sah dan mempunyai tiga tahap yang berbeza iaitu pertama, fokus pada keselamatan asas dan sikap pemandu.

"Tahap kedua pula memperkenalkan kemahiran pemanduan lanjut seperti brek kecemasan dan teknik slalom.

"Manakala tahap ketiga dikhususkan untuk pemanduan taktikal yang sesuai untuk pengawal peribadi, anggota polis, tentera atau pemandu ambulans.

"Kursus berkenaan adalah terbuka untuk semua namun bagi tahap 2 dan 3, peserta perlu lulus tahap 1 terlebih dahulu," katanya.

Image 02-01-2025 at 10.58 PM

Modul-modul latihan yang ditawarkan mengikuti piawaian antarabangsa yang diterima di negara-negara seperti Australia dan UK.

Kos latihan dan perkhidmatan yang ditawarkan

Menyentuh soal kos, Zaharuddin berkata, caj yang dikenakan bagi kursus Road Survival Skills untuk motosikal adalah RM1,400 bagi tempoh dua hari latihan.

Tambahnya, bagi sesi latihan peribadi, harga mungkin berbeza namun latihan dalam kumpulan lebih disarankan bagi mengurangkan kos.

"Latihan pemanduan kereta pula bergantung kepada jenis kursus dan tempoh latihan yang diperlukan dengan harga yang disesuaikan mengikut keperluan klien," katanya.

Kelainan yang ditawarkan

Menurut Zaharuddin, perkhidmatan yang ditawarkan ZZ Powersports Services berbeza daripada syarikat latihan keselamatan jalan raya lain kerana mereka menumpukan kepada ekosistem keselamatan jalan raya yang lebih menyeluruh.

Jelasnya, modul-modul latihan yang ditawarkan adalah mengikuti piawaian antarabangsa yang diterima di negara-negara seperti Australia dan UK.

Selain itu, katanya, ZZ Powersports Services turut memiliki pengajar yang berpengalaman dan diiktiraf oleh agensi kerajaan seperti HRD Corp, dengan memastikan latihan yang lebih mendalam dan berkualiti tinggi sesuai dengan keperluan individu atau syarikat.

"Saya berharap lebih ramai tahu dengan kursus latihan keselamatan jalan raya ini supaya kita dapat mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya dengan memberi tumpuan kepada generasi muda yang akan lebih aktif di jalan raya.

"Ramai perlu tahu bahawa latihan ini bertujuan untuk memberi kesedaran tentang keselamatan dan cara memandu dengan betul sejak awal lagi.

"ZZ Powersports Services juga berusaha untuk memperkenalkan program latihan sebegitu di universiti dan kolej bagi meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan pelajar.

"Dengan fokus kepada latihan keselamatan yang komprehensif dan praktikal, ZZ Powersports Services terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan keselamatan jalan raya di Malaysia," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram