SEHINGGA hari ini, Canva menjadi alat reka bentuk dalam talian yang paling banyak diakses untuk mencipta grafik menarik bagi menghasilkan resume, pembentangan perniagaan atau peribadi, poster, jemputan dan sijil.
Namun, di sebalik kejayaan platform reka bentuk tersebut, terdapat seorang wanita muda luar biasa, dengan kreativiti dan visi berjaya mengubah cara masyarakat berinteraksi dengan komunikasi visual.
Melanie Perkins menjadi salah seorang pengasas syarikat bertaraf unicorn teknologi wanita termuda apabila syarikatnya, Canva, bernilai AS$1 bilion (kira-kira RM4.5 bilion) enam tahun selepas ia dilancarkan pada 2013.
BACA LAGI: Ketepi rasa malu, bekas 'cleaner' hospital tawar servis cucian cermin profesional sekitar Johor
@crowngateagency Melanie Perkins, co-founder of Canva, knew she was onto something big with her vision for an easy-to-use design platform. But getting there wasn’t easy—she faced over 100 rejections from investors before finally securing funding. Her relentless determination kept her moving forward, and today, Canva is a multi-billion-dollar platform, empowering millions worldwide to create with ease. Every 'no' can bring you closer to a 'yes.' If you believe in your idea, keep pushing, learn from setbacks, and remember—perseverance is key. #canva #business #entrepreneur #inspirational #strategy ♬ original sound - CrownGate Agency
Istilah unicorn digunakan merujuk kepada syarikat pemula persendirian yang mempunyai nilai lebih AS$1 bilion.
Seiring perkembangan Canva dan matlamat yang ingin dicapai, penilaian syarikat itu turut meningkat dengan cepat menjadikannya pengasas paling berjaya di Sydney, selepas syarikat perisian multinasional, Atlassian.
Kini, Canva dinilai pada angka luar biasa iaitu AS$25 bilion (RM112 bilion), menjadikannya salah satu syarikat pemula paling berjaya dalam sejarah dan antara yang pertama mencapai tahap kejayaan dengan pantas.
Perkins, 38, juga berikrar mendermakan 30 peratus pemilikannya dalam Canva untuk tujuan kebajikan, selain membantu memerangi isu kemiskinan masyarakat dunia.
Namun, di sebalik angka-angka mengagumkan itu, terdapat cerita luar biasa mengenai ketabahan, kreativiti dan semangatnya untuk memecahkan kekangan dalam dunia reka bentuk.
Pada Mei 2021, Perkins dianggap salah seorang wanita terkaya di Australia, dengan nilai bersih sebanyak $6.5 bilion.
Namanya juga tersenarai dalam Hall of Fame 30 Under 30 (2022) dan Billionaires Forbes pada 2023.
Perkins (kanan) dan Obrecht mengambil masa tiga tahun meyakinkan pelabur untuk melabur dalam perniagaan mereka. — Agensi
Perjalanan Melanie Perkins
Ahli perniagaan itu dilahirkan di Perth, Australia pada 1987. Sejak kecil, beliau amat meminati sukan luncur ais dan sudah menjadi kebiasaan bangun pukul 4.30 pagi bagi menjalani latihan.
Pada usia 14 tahun, Perkins memulakan perniagaan pertama menjual selendang buatan tangan di pasar dan kedai-kedai di seluruh Perth, yang dianggap sebagai langkah awal untuk menanamkan semangat keusahawanan.
Setelah tamat sekolah menengah, beliau mendaftar di University of Western Australia dalam jurusan Psikologi Komunikasi dan Perdagangan.
Pada masa sama, beliau yang ketika itu berusia 19 tahun ketika bekerja sebagai tutor peribadi untuk pelajar reka bentuk grafik. Di situlah wanita tersebut menyedari akan kesukaran pelajar mempelajari program reka bentuk yang kompleks seperti Adobe Photoshop.
Tambahan pula, kebanyakan program dan perisian mahal, kompleks dan sukar diakses.
Sehubungan itu, Perkins merancang membangunkan platform reka bentuk yang mudah digunakan tanpa memerlukan kepakaran teknikal.
Walau bagaimanapun, pada waktu itu, beliau dan teman lelakinya, (kini suami) yang juga rakan perniagaan, Cliff Obrecht, tidak mempunyai sumber atau kepakaran untuk membangunkan perisian reka bentuk kompleks, lalu mereka memulakan projek pertama, Fusion Books pada 2007.
Canva platform reka bentuk dalam talian paling banyak diakses untuk mencipta grafik yang menarik.
Platform buku tahunan dalam talian
Fusion Books menawarkan platform dalam talian untuk mencipta dan menerbitkan buku tahunan.
Dengan inspirasi daripada ibunya seorang guru yang turut terlibat dalam menerbitkan buku tahunan di sekolah-sekolah, Perkins dan Obrecht bekerjasama membangunkan perisian bagi mempermudah proses tersebut.
Mereka memutuskan menawarkan perisian itu secara percuma kepada pihak sekolah yang hanya perlu membayar harga bagi salinan fizikal buku tahunan.
Biarpun tidak mempunyai pengetahuan teknikal dalam pengekodan, tetapi situasi itu tidak menghalang pasangan itu terus mengejar impian.
Dengan bantuan pengasas syarikat pembangunan perisian InDepth, Greg Mitchell, mereka mendapat pinjaman keluarga dan rakan serta kontrak bersama InDepth untuk mencipta versi pertama perisian.
Canva boleh diakses dengan mudah oleh pengguna di seantero dunia.
Ditolak beratus kali
Walaupun berjaya dengan Fusion Books, Perkins tetap berpegang teguh pada impian mencipta platform reka bentuk yang menyatukan segala-galanya dalam satu laman web dan mudah diakses pengguna global.
Perkins mula dengan mengumpul modal usaha, namun proses tersebut jauh lebih sukar. Kebanyakan pelabur menganggap produk tersebut tiada masa depan.
Selepas lebih 100 penolakan, usaha Perkins mencari pelabur membuahkan hasil apabila bertemu pelabur dari Silicon Valley, Bill Tai, yang kemudian memperkenalkanya kepada Pengasas bersama Google Maps, Lars Rasmussen.
Rasmussen bersetuju menjadi penasihat teknikal mereka. Perkins dan suaminya mengambil masa lebih tiga tahun mendapatkan pelaburan pertama untuk syarikat tersebut.
Pada 2012, selepas berbulan-bulan bekerja keras, pusingan pembiayaan pertama Canva dilancarkan dengan pelaburan sebanyak $1.6 juta (kira-kira RM7.2 juta) dan tambahan $1.4 juta (kira-kira RM6.3 juta) daripada kerajaan Australia.
Setahun kemudian Canva dilancarkan, memberi pengguna peluang untuk mencipta reka bentuk dalam talian secara percuma.
Pendapatan tahunan cecah bilion
Selepas lima tahun penuh cabaran termasuk berdepan penolakan pelabur dan membangunkan jurutera, Canva akhirnya dilancarkan pada 2013.
Ketika itu, Perkins baru mencecah usia 26 tahun. Sejak itu, Canva telah mencapai kejayaan luar biasa dengan pendapatan tahunan dianggarkan mencecah AS$1 bilion dan pasukannya terdiri daripada lebih 3,400 pekerja yang berdedikasi.
Kini, Canva bukan sahaja menjadi peneraju industri reka bentuk digital, tetapi juga diiktiraf dengan pelbagai anugerah dalam industri.
Kejayaan luar biasa Perkins membuktikan bahawa ketabahan, kreativiti dan visi yang jelas mampu mengubah dunia reka bentuk dan membawa perubahan kepada banyak orang di seluruh dunia. Dianggarkan nilai kekayaan wanita berkenaan mencecah AS$4.4 bilion (RM19.81 bilion). — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram