PIHAK polis Johor sudah melengkapkan siasatan berhubung kes bunuh lelaki berusia 28 tahun yang mayatnya ditemukan dalam bonet kenderaan ditinggalkan di tepi jalan sekitar Kilometer (KM) 26 Jalan Jemaluang-Kahang, Mersing, Johor pada 28 Disember lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, sebuah pasukan siasatan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah Johor sudah menahan dua suspek yang merupakan lelaki berusia 35 tahun dan wanita berusia 33 tahun kurang dari 24 jam selepas penemuan mayat itu.
"Penahanan dibuat pada 29 Disember pada kira-kira pukul 4.30 pagi dan kertas siasatan diajukan kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor. Suspek lelaki dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang boleh membawa hukuman mati sekiranya disabit kesalahan.
BACA LAGI: Kereta dinaiki sekeluarga bertembung lori treler di Mersing, 8 termasuk 2 kanak-kanak nyaris maut
Pemandu lori dipercayai dibunuh sebelum mayatnya disorokkan di dalam bonet kereta miliknya.
"Pertuduhan akan dilakukan di Mahkamah Majistret Mersing, Johor pada 9 pagi Khamis," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, beliau turut berkata, suspek wanita sudah dilepaskan mengikut bon di bawah Seksyen 118 Kod Kesalahan Jenayah dan akan diletakkan sebagai saksi pendakwaan.
Kumar turut meminta orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kes bagi mengelakkan gangguan terhadap prosiding undang-undang.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya melaporkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada polis melalui talian hotline Bilik Gerakan Polis Johor di talian 07-2212999.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, dendam dipercayai motif pembunuhan seorang pemandu lori lelaki yang mayatnya ditemui di dalam bonet kereta di KM26 di Jalan Jemaluang-Kahang.
Mangsa berusia 28 tahun ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap di dalam but kenderaan miliknya dengan kesan kecederaan di leher. — The Star/REMAR NORDIN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram