SEORANG tukang masak maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas selepas terlanggar seekor lembu di Kilometer 43, Jalan Tampin-Gemas, Negeri Sembilan pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira 12.30 malam itu melibatkan lelaki warga Indonesia berumur 26 tahun yang bekerja sebagai tukang masak di kedai makan di Sungai Kelamah, Gemas.
Amiruddien berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan dari kedai makan menghala ke rumahnya di Taman Pinggiran Sungai Kelamah.
BACA LAGI: 'Kami macam ibu bapa mereka', warden Rumah Aman belajar selami kehidupan kanak-kanak tiada keluarga
BACA LAGI: Hilang lebih sebulan, polis jejak 3 gadis termasuk pelajar politeknik dan warga Myanmar
Mangsa cedera parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian. — Polis Tampin
"Tiba di KM 43 Jalan Tampin Gemas, mangsa terlanggar seekor lembu yang berada di tengah jalan lalu hilang kawalan dan terbabas jatuh di bahu jalan.
"Impak dari kemalangan, mangsa cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, mayat mangsa kini berada di Forensik Hospital Tampin untuk pengendalian bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Sek 41(1) APJ 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta hubungi Balai Polis Trafik Daerah Tampin di talian 064412502 atau hubungi talian 0174002611 bagi membantu siasatan," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram