[VIDEO] Kereta dihurungi lalat petunjuk mayat mangsa kelar disumbat dalam but Waja hitam tanpa nombor plat di Mersing


  • Tular
  • Ahad, 29 Dis 2024

Tangkap layar video memaparkan sebuah kereta hitam yang dihurungi lalat di Ladang Mados, Mersing, Johor pada Ahad.

PENDUDUK setempat dikejutkan dengan penemuan sebuah kereta yang dihurungi lalat di Ladang Mados, Mersing, Johor pada Ahad.

Menerusi video tular di media sosial, kereta jenis Proton Waja berwarna hitam tanpa plat pendaftaran ditemui di dalam semak.

Dalam video sama, orang awam yang berada di lokasi kejadian tidak dapat memastikan sama ada terdapat pemandu atau penumpang di dalam kereta.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Dengar macam zikir', ramai keliru, minta JAIS perjelas aksi 'aneh' sekumpulan baju putih di kubur Danau Kota

BACA LAGI: Nahas pesawat Azerbaijan: Putin mohon maaf, sistem pertahanan udara Rusia tindak balas serangan dron Ukraine

Laporan media menyebut, polis menemukan mayat lelaki dipercayai dibunuh dengan mayatnya disembunyikan dalam but kereta sendiri di tepi semak di Kilometer 26 Jalan Jemaluang-Kahang pada 1.50 tengah hari Sabtu.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani, mayat mangsa berusia 28 tahun dan juga pemandu lori itu ditemukan berpakaian lengkap dengan kesan kelar di leher.

Beliau berkata, motif pembunuhan dipercayai berlaku angkara dendam kerana mangsa didakwa mempunyai hubungan dengan bekas isteri suspek.

"Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing mengesahkan kejadian penemuan mayat seorang lelaki warga tempatan dalam but kereta Proton Waja di dalam semak tepi jalan di lokasi kejadian," katanya.

Abdul Razak berkata, bertindak atas maklumat risikan yang diperoleh, pasukan siasatan khas membuat tangkapan ke atas seorang lelaki dan wanita warga tempatan yang disyaki terbabit dalam kejadian ini pada 4.30 pagi, Ahad

Menurutnya, suspek cuba menutup pembunuhan itu dengan membuatkan Proton Waja berkenaan seolah-olah terbabas ke dalam semak di lokasi kejadian.

"Mayat kini berada di Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA)," katanya.

"Kedua-dua suspek yang berumur lingkungan 33 hingga 35 tahun telah dibenarkan untuk ditahan reman selama tujuh hari mulai Ahad untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

"Susulan kejayaan tangkapan ini, kes berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram