SEORANG lelaki maut, manakala isterinya cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah treler di KM37.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Tol Hutan Kampung dekat Jitra, Kedah pada Selasa.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Bustan Karudin, pihaknya menerima panggilan kejadian pukul 9.26 malam sebelum tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian.
"Kemalangan menyebabkan pemandu kereta Proton Saga yang berusia 50-an meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isterinya juga berusia 50-an cedera ringan.
BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki meraung kesakitan, patah kaki motosikal dirempuh warga asing di Serendah
"Pemandu kereta Toyota Avanza iaitu lelaki berusia 50-an bersama dua penumpang wanita berusia 20-an serta seorang lelaki berusia 40-an yang memandu treler tidak cedera," katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau lagi, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala isteri mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah dekat Alor Setar, Kedah untuk mendapatkan rawatan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram