[VIDEO] Bapa sebak laung azan sebelum jumpa jasad anak terapung di Sungai Pahang


  • 112
  • Isnin, 06 Jan 2025

Tangkap layar video memaparkan bapa mangsa yang menahan sebak ketika melaungkan azan untuk mengesan anaknya di Sungai Pahang pada Isnin. — Facebook

JASAD seorang remaja lelaki yang hilang dihanyutkan arus selepas terjatuh di Sungai Pahang Sabtu lalu ditemukan lemas pada Isnin.

Mayat mangsa, Azri Fahmi Bahiudin Zaiful Afindi, 14, ditemukan Pasukan Bomba dan Penyelamat kira-kira 900 meter daripada lokasinya terjatuh kira-kira 7.45 pagi.

Penolong Pengarah (Bahagian Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Pahang, Salahudin Isa dilaporkan berkata, mayat mangsa kini diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

BACA LAGI: Punca kematian 4 mangsa terbongkar, sempat ambil dadah sebelum pengsan di konsert Pinkfish

BACA LAGI: Pegawai kanan Bukit Aman mungkin 'microsleep' sebelum rempuh penunggang motosikal di Kuala Selangor

Beliau pada masa sama menyeru orang awam untuk mengelakkan daripada melakukan aktiviti air yang boleh mengundang bahaya semasa musim Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh di negara ini.

Namun, lebih memilukan apabila melihat usaha bapa mangsa yang turut menyertai pasukan penyelamat ketika mengesan mangsa di sungai tersebut.

Menerusi video tular di media sosial, kelihatan wajah sugul bapanya ketika melaungkan azan yang membuatkan suasana bertukar hiba.

Azan itu dilaungkan beberapa jam sebelum mayat mangsa ditemui.

Pada Sabtu lepas, Azri Fahmi dikhuatiri lemas di Sungai Pahang selepas terjatuh dari rumah rakit ketika melakukan aktiviti memancing bersama dua orang rakannya di Kampung Jerantut Feri, Pahang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) juga dilakukan selama tiga hari sebelum jasad mangsa ditemukan terapung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram