SUAMI isteri dilaporkan maut selepas kereta dinaiki terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Seremban - Kuala Pilah, dekat Bukit Putus, Negeri Sembilan, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kemalangan pukul 6.45 petang itu mengakibatkan mangsa, wanita berusia 50 tahun maut di lokasi kejadian sementara suaminya, 52, meninggal dunia di hospital.
Menurutnya, kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan di Jalan Seremban-Kuala Pilah menghala ke Seremban.
BACA LAGI: [VIDEO] Penunggang maut tercampak dirempuh kereta dipandu warga Pakistan di Serendah
BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki meraung kesakitan, patah kaki motosikal dirempuh warga asing di Serendah
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton Exora yang dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun bergerak dari Seremban menuju ke Kuala Pilah.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta Perodua Kancil serta Perodua Axia," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohamad Hatta berkata, kesemua kenderaan tersebut terbabas ke penghadang besi sebelah kiri jalan arah ke Seremban.
Jelasnya, akibat kemalangan itu, mangsa penumpang hadapan kereta Perodua Axia parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Sementara pemandu kereta Perodua Axia yang turut parah di kepala disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ)," katanya.
Ujar beliau, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk urusan bedah siasat.
Tambahnya lagi, pemandu Proton Exora yang ketika itu memandu seorang diri mengalami kecederaan parah dipercayai patah di kedua-dua belah kaki.
Suami isteri maut selepas kereta dinaiki terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Seremban - Kuala Pilah, dekat Bukit Putus.
"Kesemua pemandu serta penumpang kereta jenis Perodua Kancil hanya mengalami kecederaan ringan," jelasnya.
Beliau berkata, individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Shahrizan Khairi di talian 019-8461792 atau boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Video kejadian turut dikongsikan menerusi laman Facebook Seremban Page pada Ahad.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram