SEORANG lelaki yang terjun ke sungai dekat Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Seberang Kastam, Besut, Terengganu pada Ahad malam kerana cuba melarikan diri daripada serbuan polis ditemukan lemas pada pagi keesokannya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, DSP Md Sani Md Saleh berkata, mayat lelaki berusia 45 tahun itu ditemukan pada pukul 10.25 pagi tidak jauh dari lokasi kali terakhir dia dilihat.
"Lelaki itu yang berada di atas sebuah bot nelayan di tepi jeti bertindak terjun ke sungai sebaik menyedari kehadiran anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Besut yang melakukan operasi di kawasan itu kira-kira pukul 7.45 malam.
BACA LAGI: Tukang masak maut, bayi 7 bulan kritikal terbabit nahas lepas hadir majlis tunang di Kluang
BACA LAGI: Anggota JPJ guna kamera badan, bukti kuat kuasa undang-undang kini dirakam
Mangsa berjaya dijumpai oleh pasukan penyelamat pada jarak 80 meter dari lokasi mangsa lemas dalam keadaan terapung. — Facebook/APMDaerahBesut
"Orang awam yang berada di kawasan itu cuba memberi bantuan, namun gagal lalu operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan pada pukul 8.30 malam.
"SAR kemudian disambung pagi tadi dan mayat berkenaan dijumpai di dasar sungai oleh anggota skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati lelaki itu memiliki 10 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram