SUDAH hampir dua dekad Nora Tony mengusahakan butik pengantin dan solekan.
Kedua-dua anak perempuannya, Angelinatasia Geranang, 26, dan Arabella Gracia Geranang, 19, turut membantu wanita Iban ini menguruskan perniagaan tersebut dengan bekerja sebagai jurusolek.
Kongsi Angelinatasia, mereka dua beradik memang membesar di butik pengantin ibu mereka.
BACA LAGI: Ketepi rasa malu, bekas 'cleaner' hospital tawar servis cucian cermin profesional sekitar Johor
"Selepas sekolah, kami terus ke butik untuk membuat kerja sekolah dan membantu ibu. Kini, ia menjadi satu langkah semula jadi untuk kami terus menyokong perniagaan ini,” katanya.
Menurut Angelinatasia, walaupun Nora seorang yang tegas, dia tetap dianggap sebagai bos yang hebat.
Arabella pula menambah, ibu selalu mengingatkan mereka untuk mengetepikan perbezaan demi kebaikan perniagaan.
"Walaupun kadang kala dia tegas, kami tahu itu kerana dia mahu kami berjaya," ujarnya.
Walaupun Nora (tengah) seorang yang tegas, dia tetap dianggap sebagai bos yang hebat.
Cabaran ibu tunggal
Dua puluh tahun yang lalu, kehidupan Nora berubah apabila suami meninggalkannya ketika dia sedang hamil enam bulan anak kedua mereka.
Tanpa sumber pendapatan, Nora terpaksa kembali ke rumah ibu bapanya di Kuching, Sarawak.
“Saya bermula sebagai pembantu mencuci rambut di salon dengan gaji RM500 sebulan.
"Kehidupan sangat sukar sehingga saya terpaksa menggadai barang kemas untuk membeli susu anak,” katanya dengan linangan air mata.
Dua tahun kemudian, Nora berpindah ke Sepang, Selangor, untuk bekerja sebagai tukang urut dan jurusolek separuh masa.
Gaji yang kecil memaksa Nora untuk berjimat, tetapi segala usaha itu dilakukan demi masa depan anak-anaknya.
Angelinatasia (kiri) dan Arabella (kanan) bekerjasama sebagai satu pasukan untuk membangunkan perniagaan butik pengantin yang dimulakan ibu mereka.
Permulaan perniagaan butik
Pada 2009, Nora pulang ke Kuching dan membuka sebuah butik kecil bernama Sweet Memory di Pasar Stutong dengan modal RM3,000.
Disebabkan tiada ilmu dalam dunia perniagaan, dia terpaksa belajar sendiri cara menguruskan perniagaan dan mengikuti kehendak pelanggan.
Bagi meningkatkan kemahiran, Nora menyertai kursus solekan dan keusahawanan.
Ketika anak-anaknya masih kecil, mereka sering menemani Nora ke butik dan acara-acara perkahwinan.
Kini, perniagaannya berkembang menjadi butik berskala penuh bernama Nora Bridal di Kota Samarahan, yang menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti penyewaan pakaian pengantin dan pakaian tradisional serta studio fotografi perkahwinan.
Nora (kanan) dan pakar pakaian tradisional, Louis Wessly (kiri), di sebuah majlis perkahwinan Iban di Danau, Kalimantan, Indonesia.
Simpanan sendiri
Nora menekankan kepentingan berdikari kepada anak-anaknya, terutama dalam aspek kewangan.
“Wanita perlu ada simpanan sendiri untuk menghadapi sebarang cabaran yang tidak dijangka.
"Saya selalu ingatkan Angelinatasia, walaupun sudah berkahwin, dia perlu terus berdikari,” katanya.
Selain itu, Nora juga mengajar anak-anaknya untuk menjaga keharmonian keluarga dan mengelakkan konflik kecil yang boleh menjejaskan perniagaan mereka.
“Walaupun ada cabaran, saya amat menikmati masa bersama anak-anak di butik. Ia menguatkan hubungan keluarga kami dan menjadikan kami lebih bersatu,” kata Nora dengan senyuman. — The Star/SHEELA CHANDRAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram