[VIDEO] Balik kampung nak jaga mak, bekas pelajar GiatMARA Muar tepis persepsi tukang jahit kampung kuno


  • Bizz
  • Jumaat, 03 Jan 2025

Kemahiran menjahit, terutamanya baju nikah lelaki dan perempuan berjaya menarik pelanggan dari serata tempat seperti Kuala Lumpur, Melaka dan Kedah.

BIARPUN menetap di sebuah kampung kecil di daerah Muar, Johor, Mohamad Firdaus Mohmad Bakari membuktikan gelaran 'tukang jahit kampung' sama sekali tidak menjadi penghalang untuk dirinya mencipta nama.

Dengan kemahiran jahitan yang diasah sejak usia remaja, Mohamad Firdaus kini menjadi tumpuan ramai atas hasil kerja tangannya yang halus dan rekaan pakaian yang memenuhi cita rasa moden.

Kemahiran menjahit, terutamanya baju nikah lelaki dan perempuan berjaya menarik pelanggan bukan sahaja penduduk kampung, malah dari serata tempat seperti Kuala Lumpur, Melaka dan Kedah.

BACA LAGI: [VIDEO] Rama-rama jadi identiti, anak seni kelahiran Perak realisasi impian masa kecil buka bisnes di Bukit Bintang

BACA LAGI: Sampai menteri pun terpikat, status lelaki bukan alasan anak jati Kota Bharu buka bisnes tudung

@firdausz2 #CapCut Menyempat record video sambil siapkn tempahan last minit #foryoupage #fyp ♬ Moon - BTS

"Ramai yang memandang rendah apabila saya mula-mula mengambil upah jahit di kampung.

"Mereka fikir hasil kerja tukang jahit kampung tidak setanding dengan butik di bandar, tapi saya anggap ia cabaran untuk buktikan yang kerja saya juga ada kelas tersendiri,” katanya kepada Majoriti.

Bermula dengan minat mendalam terhadap seni jahitan, jejak berusia 28 tahun itu kini mengendalikan tiga perniagaan termasuk menjahit, penghasilan makanan ringan dan perkhidmatan menyiapkan (grooming) pengantin lelaki.

Bercerita lanjut bagaimana dirinya berkecimpung dalam dunia jahitan, anak jati Muar, Johor itu berkata, minatnya bermula sejak dia menjengah usia 13 tahun.

Akui Mohamad Firdaus, meskipun ibunya juga sebelum ini pernah menjadi tukang jahit, dia sama sekali tidak pernah berminat terhadap cabang tersebut.

WhatsApp Image 2025-01-02 at 02.44.02

Mohamad Firdaus mengambil upah jahit bukan hanya di sekitar Muar, tetapi juga di luar negeri.

"Tak tahulah macam mana, tetapi sejak di tingkatan satu, saya mula tertarik dengan benda yang kreatif.

"Disebabkan itu, saya memilih untuk menyertai kelas Ekonomi Rumah Tangga (ERT) dan yang kelakarnya, hanya saya seorang pelajar lelaki dalam kelas tersebut.

"Walaupun pada awalnya terdapat segelintir pihak melemparkan persepsi negatif, namun saya tetap yakin dengan keputusan itu kerana saya memang minat menjahit," ceritanya sambil tertawa kecil.

WhatsApp Image 2024-12-31 at 16.10.26

Ibu Mohamad Firdaus (kiri) ada kalanya turut menjadi pemantau hasil kerjanya.

Jaga ibu

Mohamad Firdaus kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang jahitan di GiatMARA Muar dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

Bagaimanapun hasrat tukang jahit itu untuk menyambung pelajaran dalam bidang rekaan fesyen di ibu kota terpaksa diletakkan ke tepi apabila tanggungjawab sebagai anak bongsu daripada empat beradik memanggilnya untuk menjaga ibu tercinta.

Diuji dengan kehilangan bapa sebaik menamatkan latihan amali pada 2016, tidak tergamak untuk Mohamad Firdaus membiarkan ibunya tinggal bersendirian di kampung halaman.

Jejaka berusia 28 tahun ini tidak menunggu lama sebelum memutuskan untuk kembali mendiami rumah pusaka keluarga yang terletak di Muar demi menemani ibunya.

WhatsApp Image 2024-12-31 at 16.10.25

Mohamad Firdaus (kanan) mengambil keputusan untuk menjaga ibunya (kiri) di kampung.

Namun bagi Mohamad Firdaus, menetap di kampung tidak bererti dia harus melupakan impian untuk melebarkan sayap dalam bidang jahitan.

Sehinggalah pada 2017, pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 2 itu kemudian memulakan perniagaan jahitan bermodalkan RM1,500 untuk membeli mesin jahit.

Usaha gigihnya menghasilkan kandungan di media sosial menjadi langkah awal yang membuka pintu kejayaan kepada perniagaannya.

“Disebabkan saya tak boleh kerja luar (negeri) kerana nak tengok-tengok kan mak, jadi saya cari idea untuk orang datang sendiri ke rumah buat tempahan baju.

"Saya menggunakan platform seperti Instagram, Facebook dan TikTok bagi mempromosikan perniagaan. Saya buat segala kandungan yang ada untuk menarik minat orang luar datang ke sini,” katanya yang menyiapkan kira-kira 15 helai baju nikah setiap bulan.

Untitled design (18)

Antara koleksi busana pengantin yang dijahit oleh Mohamad Firdaus.

Ditanya sama ada dia menyesal kerana tidak dapat menyambung pengajian dalam bidang fesyen, tukang jahit itu berkata, tindakan itu mungkin berat oleh sesetengah orang, namun tidak baginya.

Keputusan untuk kembali ke rumah demi menjaga ibunya juga diambil dengan hati yang lapang dan tanpa rasa penyesalan.

“Saya tak menyesal sebab memang dari dulu nak duduk dekat kampung. Biarlah orang kata anak mak sekalipun, tak kisah.

"Saya gembira kerja dari rumah dan ini memang kehidupan yang saya mahukan.

"Mak pun seronok sangat sebab memang harapkan ada orang yang teman dia di rumah," ceritanya sambil menambah, ibu ada kalanya turut menjadi pemantau hasil kerjanya.

WhatsApp Image 2024-12-31 at 16.10.25 (1)

Keputusan untuk tinggal di kampung demi menjaga ibunya diambil dengan hati yang lapang.

Persepsi tukang jahit lelaki

Biarpun tempahan bajunya bertambah saban tahun, dia turut berdepan cabaran dalam menghadapi persaingan sengit dengan pasaran fast fashion.

“Cabaran utama saya adalah bersaing dengan pakaian yang dijual di platform dalam talian, yang mana pakaian mereka lebih murah, walaupun kualitinya tidak setanding.

"Saya dan pelanggan sering terpaksa berdepan situasi bajet sebagai faktor utama," katanya

Namun cabaran buat Mohamad Firdaus tidak hanya datang dari segi persaingan harga.

Dia turut berdepan persepsi kurang memberangsangkan daripada golongan tertentu, terutamanya pelanggan lebih berusia.

WhatsApp Image 2024-12-31 at 15.33.09

Di dalam kawasan rumah inilah Mohamad Firdaus menyiapkan segala tempahannya.

“Golongan muda lebih menghargai hasil tangan saya. Mereka tidak kisah saya duduk di kampung atau bandar, asalkan kualiti terbaik.

"Sebaliknya golongan berusia lebih suka mempertikaikan. Minggu lepas, ada seorang mak cik datang dengan wajah ragu-ragu kerana dia ingat saya tukang jahit perempuan,” ujarnya mengenang kembali penerimaan sesetengah pelanggannya.

Tahun 2025 menjadi cabaran baharu buat Mohamad Firdaus untuk memperkukuh jenama dan membuktikan bahawa tukang jahit kampung mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.

“Saya nak terus berusaha kerana saya tak nak orang pandang tukang jahit kampung ini sebagai sesuatu yang kuno.

"Saya nak orang lihat kami sebagai tukang jahit yang mampu melangkah jauh ke masa depan. Sebab itu, saya sentiasa pastikan hasil kerja menepati standard moden dan berkualiti,” katanya optimis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram