SEORANG remaja perempuan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang atas pertuduhan menikam ibu saudaranya pada Jumaat lalu.
Remaja berusia 14 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.
Tertuduh mengangguk sebagai tanda memahami pertuduhan yang dibacakan kepadanya dan memohon untuk dibicarakan.
BACA LAGI: Ketepi rasa malu, bekas 'cleaner' hospital tawar servis cucian cermin profesional sekitar Johor
Menurut pertuduhan, remaja itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang wanita berusia 34 tahun menggunakan sebilah pisau.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah flat dekat Jalan Perai Jaya dalam daerah Seberang Perai Tengah, kira-kira pukul 11.30 pagi, pada 3 Januari lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya atau cara lain.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Zulfadzly Hassan mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili oleh Muhaimin Hashim.
Media pada Jumaat lalu melaporkan bahawa seorang wanita mengalami kecederaan di perut selepas ditikam dengan pisau oleh anak saudaranya semasa pertengkaran di sebuah flat.
Polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 11.30 pagi.
Tertuduh direman selama enam hari bagi membantu siasatan. — The Star/IMRAN HILMY
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram