BERMULA sebagai pekerja pembersihan di sebuah hospital dekat Kluang, Johor pada 2022, Izzuddin Muhamad Maher kini mengorak langkah dengan menawarkan servis cucian cermin profesional untuk premis komersial di sekitar Johor.
Menurut anak jati Kluang itu lagi, keputusan untuk terjun dalam bidang tersebut bermula secara tidak sengaja.
Meskipun pada awalnya dia langsung tidak berminat dengan pekerjaan itu, namun pengalaman dan ilmu pembersihan cermin tingkap yang diperoleh sewaktu berkhidmat secara kontrak di pusat perubatan tersebut mendorongnya untuk meluaskan servis berkenaan.
“Pada awalnya, saya tidak berminat dan malu bekerja sebagai pekerja pembersihan, namun demi kelangsungan hidup dan dorongan kawan-kawan, saya cuba untuk menerima pekerjaan tersebut.
"Lama-kelamaan saya mula diberi pendedahan tentang teknik sebenar mencuci melalui kursus yang ditawarkan, termasuk teknik mencuci cermin,” katanya kepada Majoriti.
Minat menubuhkan syarikat sendiri kemudian berkembang apabila usahawan berusia 25 tahun itu menyedari akan potensi perniagaan cucian cermin di negeri kelahirannya.
Ujarnya, dia mengenal pasti bahawa kebanyakan premis seperti restoran, butik mahupun klinik menghadapi masalah untuk memastikan cermin mereka sentiasa bersih dan berkilat.
"Jadi saya nampak peluang untuk membantu dengan menyediakan servis cucian cermin yang profesional dan berkualiti tinggi,” tambahnya.
Cerita anak keenam daripada enam beradik itu, bisnes tersebut bermula secara kecil-kecilan sebagai kerja sambilan sewaktu dia masih bekerja di hospital.
Pada pertengahan 2022, yakni selepas tamatnya kontrak, Izzuddin memutuskan untuk memulakan langkah lebih serius dalam perniagaan ini.
Izzuddin menggunakan peralatan pembersihan berkualiti tinggi yang diimport dari AS.
Bermodalkan pengalaman dan peralatan pembersihan berkualiti tinggi yang diimport dari Amerika Syarikat (AS) seperti squeegee dan lambs wool yang digunakan untuk meratakan pencuci cermin secara menyeluruh, dia memulakan jenama MZ Cleaning Window Services.
“Teknik yang betul amat penting untuk memperoleh hasil berkualiti. Contohnya, penggunaan lambs wool untuk scrub cermin dan squeegee pula untuk proses pengeringan.
"Saya juga mempraktikkan teknik fanning, yang menjadikan hasil kerja lebih bersih tanpa meninggalkan kesan kotoran pada cermin,” jelasnya.
Kini, Izzuddin sudah menguruskan 18 premis termasuk restoran, klinik dan kompleks beli-belah.
“Walaupun pelanggan tidaklah terlalu ramai, tetapi mereka sering membuat tempahan berkala seperti tiga bulan sekali atau setiap bulan. Saya juga bekerjasama dengan syarikat industri lain untuk projek cucian berskala besar,” katanya yang ingin mengekalkan identiti dengan memakai pelitup muka hampir sepanjang masa.
Izzuddin bersyukur dapat bertahan dalam industri ini sehingga sekarang.
Akui usahawan muda ini, keluarga pada awalnya agak skeptikal dengan keputusan Izzuddin untuk menjalankan perniagaan sendiri, malah mencadangkan dirinya agar mencari pekerjaan tetap yang lain.
Namun ujarnya, dia tetap berusaha untuk meyakinkan keluarga bahawa setiap pekerjaan yang dilakukan, pasti ada rezeki yang tersimpan.
"Selepas beberapa bulan menjalankan bisnes, Alhamdulillah mereka mulai beri kepercayaan untuk saya fokus dalam bidang ini.
"Apatah lagi, dengan karier ini, dalam masa sama saya boleh menjaga ibu di rumah. Meskipun pada awalnya agak sukar, kini saya bersyukur dapat bertahan sehingga sekarang," kongsinya yang adakalany turut dibantu rakan-rakan dalam industri yang sama.
Melihat ke hadapan, Izzuddin berharap dapat mengembangkan lagi perniagaannya dan memperkenalkan lebih banyak inovasi dalam servis cucian cermin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram