'Pemergian yang dicemburui', ustaz maut kemalangan selepas imamkan solat Jumaat di Kluang


  • 112
  • Sabtu, 04 Jan 2025

Sulaiman Sutar (kanan) selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya selepas pulang dari mengimamkan solat Jumaat di Masjid Kampung Ulu Benut dekat Kluang, Johor pada Jumaat.

PEMERGIAN yang dicemburui. Itulah ungkapan yang sesuai menggambarkan kematian seorang warga emas, Sulaiman Sutar selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya selepas pulang dari mengimamkan solat Jumaat di Masjid Kampung Ulu Benut dekat Kluang, Johor pada Jumaat.

Mangsa maut selepas keretanya hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di KM 76, Jalan Johor Bahru- Ayer Hitam, Johor.

Khabar duka itu dikongsikan seorang pengguna Facebook, FikriAfiq Marjuki pada hari yang sama.

BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu jengkaut maut kena hempap kren angkut mesin kuari di India

BACA LAGI: Dihalang balik ke rumah sendiri punca remaja perempuan 14 tahun tikam ibu saudara di Pulau Pinang

Menurut lelaki tersebut, mangsa berumur 75 tahun itu merupakan seorang individu yang sangat disegani oleh penduduk tempatan.

"Pemergian yang dicemburui. Salam takziah kepada keluarga Ustaz Sulaiman Sutar atas pemergian Allahyarham. Allahyarham merupakan seorang jurunikah yang disegani dan senangi oleh masyarakat.

"Allahyarham terlibat dengan kemalangan jalan raya selepas pulang mengimamkan solat Jumaat di Masjid Kampung Ulu Benut. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian.

"Jenazah Allahyarham diurus di unit forensik Hospital Kluang oleh petugas Pejabat Agama Daerah Kluang.

"Pasukan kami bantu untuk membawa pulang jenazah ke kampung untuk disolatkan dan dikebumikan. Semoga Allah menerima segala amal baik Allahyarham," tulisnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh mengesahkan kejadian terbabit.

Katanya, kemalangan berkenaan dipercayai berlaku sekitar pukul 2.30 petang ketika mangsa memandu kereta jenis Proton Iswara dalam perjalanan dari Machap menghala ke Simpang Renggam.

"Ketika tiba di lokasi, warga emas tersebut hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Hyundai Staria.

"Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala serta badan dan meninggal dunia di lokasi," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau lagi, kesemua mangsa telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Simpang Renggam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram