Bermula hanya ada 2 staf, pasangan suami isteri kini terajui 11 rangkaian klinik sekitar Bangi, Putrajaya


  • Bizz
  • Isnin, 30 Dis 2024

Bagi Dr Najwa, menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan mudah diakses komuniti setempat menjadi inspirasinya untuk menyediakan lebih banyak klinik.

MENUBUHKAN klinik bukan sekadar peluang perniagaan bagi Syarifah Najwa Syed Ahmad, 47, tetapi lebih kepada memenuhi impian dan meneruskan tanggungjawab sebagai pengamal perubatan.

Mengusahakan rangkaian klinik swasta di sekitar Bangi dan Putrajaya, Syarifah Najwa atau mesra disapa Dr Najwa bersama suami, Zamari Abdul Ghani, 46, kedua-duanya terus komited dalam memberikan perkhidmatan perubatan terbaik di ibu kota.

Kedua-duanya berkenalan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Jasin, sebelum masing-masing membawa haluan untuk menggapai cita-cita selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

BACA LAGI: Dari kecil jarang masuk dapur, bekas juruukur bahan kini miliki 'central kitchen' sendiri bekalkan kek sekitar Lembah Klang

BACA LAGI: [VIDEO] Berubah total 360 darjah, bekas usahawan kosmetik kini cukup diyakini 'wrapping' kereta berkuasa tinggi

Langsung tidak terbayang oleh pasangan suami isteri ini, klinik swasta yang dibina sejak 2013 kini mampu berkembang sehingga lebih 11 cawangan berjaya dibangunkan sehingga kini.

Dr Najwa yang juga Pengarah Klinik Najwa memberitahu, keputusan untuk membuka klinik bersama banyak diyakinkan oleh Zamari yang sebelum ini bekerja sebagai jurutera.

"Pada awalnya saya tidak menyimpan hasrat untuk membuka banyak cawangan klinik, sebaliknya cukup untuk membuka sebuah klinik sebelum mencapai umur 30 tahun.

“Namun apabila peluang itu datang, saya tidak nafikan perasaan untuk menawarkan servis terbaik kepada pesakit bercambah sepanjang masa,” katanya kepada Majoriti.

Snapinsta.app_428649328_18251686492241556_7747757312700492250_n_1080 (1)

Keputusan Dr Najwa (kiri) untuk membuka klinik bersama banyak diyakinkan suami (kanan).

Usai menjalani latihan housemanship di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr Najwa ditugaskan sebagai pegawai perubatan di Hospital Putrajaya, kemudian beliau ditempatkan di Pusat Kesihatan UKM yang terletak di Bangi.

Bagi memperoleh lebih banyak pengalaman dalam dunia perubatan, wanita berasal dari Bangi ini menjalani tugas sebagai doktor locum di beberapa klinik dan hospital swasta.

Selain mengasah kemahiran perubatan, pengalaman itu juga membantu Dr Najwa menimba ilmu pengurusan dan pentadbiran klinik.

Malah ujarnya, berurusan dengan pesakit daripada pelbagai latar belakang memberikan perspektif mendalam tentang keperluan kesihatan masyarakat.

"Ada antara mereka (pesakit) sanggup kembali untuk mendapatkan rawatan daripada saya.

"Itu juga memberi keyakinan kepada saya untuk memulakan klinik sendiri," kongsinya.

Jelasnya, pada awalnya beliau tidak bercita-cita untuk membuka banyak cawangan klinik, sebaliknya hanya bermatlamat untuk membuka sebuah klinik sebelum mencapai umur 30 tahun.

Namun bagi Dr Najwa, menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan mudah diakses oleh komuniti setempat menjadi inspirasinya untuk menyediakan lebih banyak klinik.

"Saya melihat keperluan untuk membina sebuah pusat perubatan yang memberi fokus kepada rawatan secara holistik, profesional dan penuh empati, yang memenuhi keperluan pesakit secara menyeluruh," jelasnya.

Snapinsta.app_468530726_18284993158241556_6170754660208002887_n_1080

Bagi Dr Najwa, berurusan dengan pesakit pelbagai latar belakang memberikan perspektif mendalam tentang keperluan kesihatan masyarakat.

Pusat sehenti

Sokongan suami yang kini rakan kongsi perniagaan turut memainkan peranan penting.

Bersama, mereka membentuk sebuah pasukan, dengan Dr Najwa fokus kepada aspek perubatan, manakala Zamari menguruskan operasi seperti bahagian perakaunan dan pengurusan kakitangan.

Bermodalkan RM320,000, mereka menggunakan sebahagian besar modal untuk membeli mesin pengimbas ultrasound dan mesin analisis hematologi.

"Kami antara klinik perubatan yang terawal mengaplikasikan peralatan canggih berteknologi tinggi dalam usaha menawarkan pengalaman perubatan yang berkesan dan ke hadapan," bicaranya yang pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada 2006.

Klinik Dr Najwa bermula sebagai pusat sehenti yang menawarkan perkhidmatan unik seperti imbasan (ultrabunyi) 3D dan 4D bagi pemeriksaan kehamilan, yang ketika itu jarang tersedia di klinik swasta.

“Kami menjadi perintis di kawasan Bangi untuk teknologi ini, yang sebelum ini hanya terdapat di hospital swasta besar,” ujarnya.

Namun, cabaran tetap wujud. Dengan hanya dua kakitangan pada permulaan, Dr Najwa dan suami menguruskan hampir semua aspek operasi, termasuk pemasaran melalui Facebook.

Klinik itu juga jelas Dr Najwa, memulakan operasi sepenuhnya dengan dana tunai kerana bank pada waktu itu kurang memberi pinjaman kepada perniagaan baharu.

Tunai hasrat bapa

Pun begitu, cita-cita menjadi seorang doktor bukanlah pilihan awal ibu kepada lima cahaya mata itu.

Sebaliknya ketika di sekolah, beliau pernah mengimpikan untuk menjadi peguam disebabkan minatnya terhadap perdebatan dan penyampaian awam.

Namun, impian dan dorongan bapa yang juga merupakan bekas pensyarah di UKM untuk menceburi bidang perubatan telah mengubah haluan hidupnya.

“Sejak remaja abah sering mengatakan bahawa jadi doktor dapat pahala sebab kita rawat orang. Kalau jadi peguam, takut silap hari kita bela orang yang salah.

"Meskipun pada awalnya kurang bersetuju dengan cadangan tersebut, lama-kelamaan terdetik di hati saya untuk tunaikan harapan abah,” kongsinya yang menyambung pengajian di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, Kelantan.

Anak autisme

Sebagai seorang ibu kepada anak istimewa, beliau turut menekankan kepentingan menjaga keseimbangan antara kerja dan keluarga.

Beliau menjadikan aktiviti melancong bersama keluarga sebagai ganjaran atas usaha kerasnya.

“Dari dulu lagi, sebelum buka klinik, saya bercita-cita untuk kumpul duit supaya boleh reward diri dengan melancong. Begitu cara saya 'mengecas' semula kekuatan diri,” ujar wanita yang tidak lokek dengan senyuman itu.

Snapinsta.app_464188390_18280585792241556_9195726630166776320_n_1080

Antara sebahagian kakitangan Klinik Dr Najwa.

Persaingan kompetitif klinik swasta

Berkongsi lanjut mengenai perkhidmatan ditawarkan, ulas Dr Najwa, kliniknya menyediakan pelbagai servis perubatan seperti rawatan penyakit umum, pemeriksaan kesihatan, vaksinasi, pengurusan penyakit kronik dan rawatan ringan kecemasan.

Selain itu, mereka juga memberi tumpuan kepada rawatan kesihatan wanita, pediatrik dan dermatologi bagi memastikan keperluan semua golongan masyarakat dapat dipenuhi.

"Fokus klinik ini adalah menyediakan perkhidmatan komprehensif dengan teknologi terkini, khususnya untuk wanita dan kanak-kanak," ujarnya.

Akui anak kedua daripada lapan beradik itu lagi, membuka klinik bukanlah satu perjalanan yang mudah.

Sekitar enam bulan pertama, pasangan suami isteri tersebut sepakat untuk tidak mengambil gaji kerana pendapatan itu perlu digunakan untuk membayar pekerja dan memastikan operasi perniagaan berjalan lancar.

“Kami perlu bertahan terutamanya semasa awal pembukaan klinik,” katanya.

Selain itu antara cabaran lain termasuk menyesuaikan diri dengan persekitaran kompetitif, terutama apabila banyak klinik baharu dibuka di kawasan yang populasinya tidak cukup padat.

Dalam menghadapi persaingan sengit dalam kalangan klinik swasta, Dr Najwa mengakui, persaingan tidak sihat seperti potongan harga perkhidmatan dan ubat-ubatan secara berlebihan dan pembukaan klinik tanpa kawalan menjejaskan kestabilan industri tersebut.

Justeru beliau turut mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan sistem 'zoning' bagi mengelakkan kepadatan klinik di kawasan tertentu.

“Klinik yang terlalu banyak di kawasan yang sama menyebabkan masalah kewangan kepada pengusaha kecil dan meningkatkan risiko penutupan perniagaan,” katanya.

Setelah lebih sedekad bertapak, Klinik Dr Najwa kini semakin berkembang menjadi salah satu pusat perubatan pilihan di Bangi, dengan reputasi kukuh dalam menyediakan perkhidmatan perubatan berkualiti tinggi.

Dr Najwa dalam pada itu turut berkongsi bahawa dalam tempoh lima hingga 10 tahun mendatang, mereka bercadang untuk meluaskan perkhidmatan ke kawasan yang kurang akses pada perkhidmatan kesihatan.

"Kami juga ingin memperkenalkan lebih banyak rawatan khusus dan inovatif bagi memenuhi keperluan pesakita yang semakin berkembang," katanya mengakhiri bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram