Pegawai kanan Bukit Aman mungkin 'microsleep' sebelum rempuh penunggang motosikal di Kuala Selangor


  • 112
  • Jumaat, 03 Jan 2025

Tangkap layar video seorang lelaki maut selepas terlibat dalam satu kemalangan ngeri di Jeram dekat Kuala Selangor, Selangor pada Selasa.

SEORANG pegawai kanan di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, Kuala Lumpur disahkan terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan seorang penunggang motosikal di Kuala Selangor, Selangor pada Selasa lalu.

Memetik laporan The Star, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan bahawa pegawai kanan tersebut adalah pemandu kereta Perodua Ativa yang merempuh motosikal mangsa.

Beliau memaklumkan, kemalangan itu berkemungkinan berlaku disebabkan pegawai terbabit terlelap ketika memandu atau microsleep berdasarkan video papan pemuka (dashcam) tular di media sosial.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Perginya ketika cari rezeki buat anak isteri', lelaki maut melambung dirempuh Ativa masuk laluan bertentangan di Jeram

BACA LAGI: Pemandu lori mengaku bersalah ugut bunuh Baby Shima didenda RM4,000

Katanya, polis bagaimanapun sedang menunggu siasatan pihak trafik bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Beliau pada masa sama menegaskan bahawa pihaknya akan menyiasat secara telus dan adil sekiranya pegawai terbabit didapati bersalah.

Mengulas lanjut, katanya, siasatan sudah dimulakan dan akan dirujuk ke pihak pendakwa raya secepat mungkin.

Hasil saringan ujian air kencing bagaimanapun mendapati lelaki berkenaan negatif dadah.

Tambahnya, pegawai berkenaan juga sedang menerima rawatan di hospital susulan kecederaan yang dialaminya.

Polis juga akan melihat keperluan sama ada untuk menahan pegawai berkenaan atau sebaliknya.

Sementara itu, berdasarkan video berdurasi seminit itu, mangsa yang menunggang motosikal dari arah bertentangan melambung ke udara selepas dirempuh pemandu Ativa.

Turut tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan helmet mangsa juga terpelanting ke halaman rumah penduduk ekoran daripada impak kuat rempuhan tersebut.

Mangsa juga dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian ekoran daripada kecederaan parah di anggota badan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram