TINDAKAN mulia seorang pemandu lori yang sanggup 'mengorbankan' jentera berat bagi mengelakkan kemalangan yang lebih buruk berlaku di Kampung Kuala Lesong dekat Kuala Ketil, Kedah pada Ahad mendapat pujian orang ramai.
Masakan tidak, melalui video yang dikongsikan di laman media sosial itu juga menunjukkan pemandu lori berkenaan sanggup merisikokan nyawa sendiri.
Menerusi video berdurasi kurang seminit yang dikongsikan itu memaparkan keadaan jalan di kawasan tersebut lengang namun aliran trafik agak perlahan.
BACA LAGI: [VIDEO] Penunggang maut tercampak dirempuh kereta dipandu warga Pakistan di Serendah
BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu jengkaut maut kena hempap kren angkut mesin kuari di India
Ketika melalui selekoh, pemilik kamera papan pemuka (dashcam) yang merakam kejadian lori tersebut dilihat memperlahankan kenderaan manakala sebuah lagi kenderaan jenis Perodua Myvi juga turut berhenti ekoran terdapat kenderaan di depan yang dikatakan sedang memasuki sebuah simpang.
Susulan itu, pemandu lori berkenaan terus memandu ke kiri dan melanggar pembahagi jalan bagi mengelak melanggar kenderaan di hadapannya.
Tindakan pantasnya itu berjaya bagi mengelakkan kemalangan yang lebih dahsyat namun dia bernasib malang apabila lori yang dipandunya itu terus bergolek jatuh ke bahu jalan.
Rata-rata warga maya yang melihat kejadian itu memuji tindakan pantas pemandu lori terbabit.
"Selamat pemandu lori bijak walaupun dia terpaksa 'korbankan diri'. Semoga mangsa dalam lindungan ALLAH," kata Abdul Halim.
Bayangkan kalau pemandu lori tidak buat macam itu, mesti ada tragedi yang berlaku. Kalau aku jadi pemandu Myvi itu, aku cuak kot," kata Nik Faisal pula.
Setakat berita ini ditulis, tidak dapat dipastikan keadaan pemandu lori tersebut dan belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram