Lelaki Malaysia disyaki cuba seludup dadah bernilai RM120,000 ditahan di Sungai Golok


  • 112
  • Ahad, 05 Jan 2025

Seorang rakyat Malaysia ditahan selepas dipercayai terlibat kegiatan pengedaran dadah bernilai RM120,000 di Sungai Golok Isnin lalu. — Gambar Balai Polis Sungai Golok

SEORANG rakyat Malaysia dicekup di Sungai Golok, Thailand selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan sindiket pengedaran dadah dan air ketum yang dianggarkan bernilai RM120,000 pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kolonel Polis Jadsadavit Inprapan berkata, suspek berusia 24 tahun yang berasal dari Utara tanah air itu dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

"Dalam serbuan itu, sebanyak 1,943 biji pil ekstasi, pil erimin 5 (1,510 biji) ketamin ( 2,580 gram) dan air ketum (288 gram) dirampas bersama suspek ketika serbuan dijalankan.

BACA LAGI : [VIDEO] Penunggang maut tercampak dirempuh kereta dipandu warga Pakistan di Serendah

BACA LAGI : [VIDEO] Pemandu jengkaut maut kena hempap kren angkut mesin kuari di India

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Wilayah Narathiwat untuk tahanan sementara dan sampel air kencingnya telah diambil untuk ujian saringan di Hospital Sungai Golok.

"Polis Thailand kini sedang menyiasat sumber asal dadah itu, dan memeriksa latar belakang suspek untuk mengetahui jika dia mempunyai rekod kesalahan dadah di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya lagi, ujian saringan air kencing di Hospital Sungai Golok mendapati, suspek juga positif dadah jenis methamphetamine.

"Berdasarkan siasatan, suspek dipercayai memiliki kesemua dadah dan air ketum itu untuk diseludup dan dijual di Malaysia.

"Perbuatan memiliki dadah dengan jumlah tersebut mencetuskan kebimbangan terhadap orang ramai sekali gus menjejaskan keselamatan negeri," katanya.

Tambah Jadsadavit lagi, seorang peguam dan penterjemah bahasa hadir untuk membantu soal siasat suspek.

Menurutnya, cap jari lelaki itu diambil untuk semakan kes lampau melibatkan jenayah selain kesemua dadah tersebut dibawa untuk pengesahan sebelum suspek mendapat perintah reman oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat.

"Terdapat beberapa penahanan melibatkan suspek kes dadah tidak kira melibatkan rakyat Thailand atau warga asing pada setiap bulan.

"Balai Polis Sungai Kolok sentiasa bersikap tegas dan menguatkuasakan undang-undang kepada pesalah jenayah dadah tanpa sebarang diskriminasi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram