PIHAK polis akan melakukan beberapa sekatan jalan raya menghala ke Putrajaya susulan perhimpunan Himpunan Solidariti Datuk Seri Najib Razak yang dirancang untuk diadakan pada Isnin.
Tegas Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner, Aidi Sham Mohamed, pihaknya akan membuat pemeriksaan ketat terhadap semua individu yang akan memasuki Putrajaya.
"Tindakan itu dibuat bagi memastikan tiada bahan larangan seperti senjata atau sepanduk yang ada perkataan atau unsur-unsur jelik, hasutan berhubung dengan perhimpunan itu.
BACA LAGI : [VIDEO] Lelaki meraung kesakitan, patah kaki motosikal dirempuh warga asing di Serendah
“Orang ramai dilarang untuk menyertai perhimpunan aman esok di Putrajaya kerana perhimpunan tersebut tidak mendapat kebenaran dari pemilik tanah sekaligus tidak mematuhi syarat-syarat seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana orang yang menyertai perhimpunan tersebut kerana ia melanggar undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar jangan hadir perhimpunan berkenaan.
Sementara itu, Jabatan Siasatan dan Pengutakuasaan Trafik (JSPT) sudah mengatur petugas bagi kawalan lalu lintas dan pemantauan serta penguatkuasaan susulan himpunan solidariti tersebut.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, anggota tambahan dari Kuala Lumpur turut dihantar untuk memberi bantuan di Putrajaya.
Katanya, penugasan awal akan bermula tengah malam ini hingga ke esok termasuk bantuan dari Perbadanan Putrajaya untuk sebarang halangan kenderaan.
"Lencongan dan penutupan jalan akan dibuat hanya jika perlu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Terdahulu, media melaporkan orang ramai dilarang berhimpun di Istana Kehakiman Putrajaya, khususnya bagi Himpunan Solidariti Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed, dilaporkan berkata, perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran, sekali gus tidak mematuhi syarat termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram