EMPAT orang pengunjung maut bersama tiga lagi yang terselamat pengsan sebelum menerima rawatan selepas mengambil dadah pada konsert Pinkfish Countdown 2024 pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa sempat diberi rawatan oleh pasukan pertolongan cemas pada konsert itu sebelum dihantar ke hospital.
Hussein berkata, kesemua mangsa pengsan antara pukul 10.45 malam hingga 3 pagi.
BACA LAGI: [VIDEO] Empat maut ketika hadiri konsert 'countdown New Year' di Bandar Sunway
Pihak penganjur konsert Pinkfish gagal memastikan keselamatan pengunjung serta menghalang penjualan dan penggunaan dadah ketika konsert berlangsung. — Gambar hiasan
Katanya, siasatan juga menunjukkan kesemua mangsa mengambil pil ekstasi ketika konsert itu.
"Beberapa mangsa mungkin sudah membeli dadah itu sebelum pergi ke konsert manakala yang lain mungkin membelinya di sana.
"Kami juga percaya ada individu yang menjual dadah itu di konsert. Siasatan mendapati pil ekstasi dijual pada harga RM50 sebiji atau tiga biji pada harga RM100," katanya.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang dalam usaha mengenal pasti pengedar dadah.
Siasatan juga menunjukkan penganjur konsert gagal memastikan keselamatan pengunjung serta menghalang penjualan dan penggunaan dadah ketika konsert berlangsung.
Susulan itu, polis akan mengenakan syarat yang lebih ketat sebelum sebarang permit untuk konsert diluluskan.
"Sebagai contoh, penganjur perlu menunjukkan bahawa mereka mampu mencegah sebarang pengedaran dan penggunaan dadah di premis konsert.
"Kita tidak boleh begitu sahaja membenarkan konsert diadakan jika ia akan membawa kepada kematian pengunjung.
"Justeru, keselamatan perlu sentiasa diutamakan. Kami akan melihat kelulusan konsert mengikut situasi dengan kawalan keselamatan sebagai keperluan utama," tambahnya.
Hussein juga berkata, pihaknya sedang meneliti sekiranya konsert Pinkfish itu melebihi kapasiti.
"Kami mendapati sebanyak 14,000 tiket telah dijual. Dengan pasukan keselamatan dan pertolongan cemas di tempat kejadian, kami percaya lebih 14,000 orang berada di sana pada malam itu.
"Polis akan merekodkan keterangan penganjur, pasukan pertolongan cemas, keselamatan bersama ahli keluarga dan rakan mangsa, katanya.
"Dua orang masih dirawat di unit rawatan rapi manakala seorang lagi sudah dibenarkan keluar," jelasnya. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram