Titah Adendum: Sultan Pahang sahkan perintah tambahan wujud


Peguam memohon untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuan Mohd Najib bagi mendapatkan semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum.

PEGUAM Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada Isnin memohon untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bagi mendapatkan semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum.

Memetik laporan Buletin TV3, Shafee dalam hujahnya di hadapan panel tiga hakim memaklumkan kepada Mahkamah Rayuan Putrajaya bahawa anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar telah menerima salinan dokumen tersebut daripada Sultan Pahang pada Ahad.

Menurutnya, Mohamad Nizar menerima perintah menghadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memaklumkan kewujudan salinan Titah Adendum dalam simpanan baginda sehari sebelum itu.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

“Keesokannya (5 Januari 2025) Nizar menerima salinan dokumen tersebut, yang merupakan rekod peribadi Sultan Pahang, yang menjelaskan mengapa ia tidak mempunyai tandatangan Sultan.

“Dengan bukti ini, saya percaya kita berjaya menyanggah keputusan mahkamah rendah menyatakan empat afidavit yang menyokong dakwaan Najib termasuk daripada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah dengar cakap dan tidak boleh diterima.

“Oleh itu, kami memohon supaya bukti tambahan ini diterima supaya kami boleh menghujahkan rayuan ini dengan telus,” jelasnya.

Panel tiga hakim dalam prosiding rayuan pada Isnin dianggotai Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.

Pada 3 Julai lalu 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Najib memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya, termasuk kenyataan Ahmad Zahid dan Wan Rosdy, tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram