PM Anwar tegaskan titah adendum tak boleh diulas kerana melibatkan Yang di-Pertuan Agong


  • Primer
  • Selasa, 10 Dis 2024

Anwar Ibrahim menyatakan bahawa titah adendum tidak boleh diulas kerana ia melibatkan Yang di-Pertuan Agong.

ISU titah adendum berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-61 tidak boleh diulas oleh perdana menteri kerana ia melibatkan Yang di-Pertuan Agong.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hal itu tertakluk kepada undang-undang kerana Lembaga Pengampunan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

"Apakah munasabah untuk kita berikan ulasan sebelum peraturan itu? Jawapannya tidak, kerana Peraturan Mesyuarat 23(1)(g) Peraturan Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, tidak membolehkan.

"Yang boleh saya tambah ialah penglibatan saya hanya pada mesyuarat yang awal iaitu pada 8 Disember 2023. Itu saya hadir dan saya boleh ulas kerana belum bangkit soal adendum.

"Dia tidak termasuk dalam agenda. Tuanku Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu tidak memasukkan agenda permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak dalam pertimbangan Lembaga Pengampunan.

"Jadi untuk rekod, saya persembahkan kepada Tuanku, atas alasan semua rakyat atau banduan berhak membuat permohonan dan kerana kedudukan Datuk Seri Najib Razak adalah munasabah kalau diberi pertimbangan," katanya.

Anwar menjawab soalan dibangkitkan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkait penjelasan sama ada perintah adendum itu wujud.

Soalan tambahan itu diajukan Takiyuddin ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) meminta orang ramai supaya menghormati prosiding mahkamah yang sedang berlangsung berkaitan titah adendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram